Berita

DMex uji kesiapsiagaan bomba

PASUKAN khas Hazmat mengendalikan mangsa yang tercemar dengan bahan kimia merbahaya semasa sesi latihan DMex di Labuan baru-baru ini.
- Diterbit 6 Disember 2019 11:32 AM MYT

Oleh MD. KHAIRUL AZAD YUNUS
Foto JEFFREY NIAN

LABUAN – Latihan Pengurusan Bencana (DMex) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Labuan berjaya menguji kesiapsiagaan agensi itu bersama agensi lain dalam menghadapi sebarang bencana atau insiden yang berlaku.

Pengarah JBPM Labuan, Zainal Madasin berkata, DMex merupakan latihan simulasi menangani insiden atau bencana untuk memantapkan lagi kesiapsiagaan pasukan di samping susunan dan penetapan keupayaan JBPM agar sehaluan dengan konsep pengoperasian ketika menghadiri insiden besar.

“Latihan ini juga untuk fokus kepada pengurusan bencana kompleks-multi incident, kemampuan Komander Operasi dalam pengurusan bencana dan sistem pengurusan operasi(ICS) menangi bencana.

“Selain itu, ia juga memberi tumpuan kepada prosedur operasi standard (SOP) pasukan khas yang ada di samping sistem komunikasi serta kerjasama antara agensi dan kemampuan Pasukan Gerakan Operasi (PGO) memobilisasi anggota, peralatan dan jentera,” katanya ketika berucap merasmikan majlis penutupan latihan itu baru-baru ini.

Dalam pada itu, Zainal turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua anggota bomba dan agensi-agensi seperti polis, hospital, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia, Bomba Sukarela, Labuan Emergency Mutual Aid yang terlibat.

Terdahulu, latihan itu dimulai dengan panggilan kecemasan yang diteruma JBPM susulan berlakunya letupan yang mengakibatkan kebakaran di Pasar Lama Labuan.

Pada sesi itu, ketangkasan bomba terbukti apabila mereka berjaya menyelamatkan dua mangsa terperangkap yang merupakan orang kurang upaya (OKU) walaupun api merebak dengan cepat disebabkan bahan mudah terbakar.

Semasa kerja-kerja pemadaman api sedang dijalankan pasukan bomba juga dikerahkan untuk menyelamatkan dua mangsa yang tercampak ke dalam laut akibat panik selepas berlaku letupan kuat dan kebakaran.

Selepas itu, latihan beralih ke Jalan Merdeka apabila sebuah lori yang membawa muatan bahan kimia terbabas dan merempuh sebuah bas yang membawa murid-murid sekolah.

Pasukan Khas Pengurusan Bahan Berbahaya (Hazmat) JBPM Labuan yang dikejarkan ke lokasi berjaya mengendalikan tumpahan bahan kimia merbahaya serta menyelamatkan tujuh mangsa termasuk dua orang awam yang pengsan ketika cubaan membantu mangsa kemalangan.

Latihan itu berjaya dilaksanakan dengan koordinasi bersama 150 anggota pelbagai agensi yang terlibat.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas