Berita

Ulangi kejayaan Sukan SEA 2017

ANTARA babak mendebarkan sepanjang perlawanan menentang Singapura.
- Diterbit 6 Disember 2019 11:40 AM MYT

Oleh MUHAMMAD NABEEL
[email protected]

KUALA LUMPUR – Seperti menepati ramalan, skuad bola jaring bimbingan Tracey Robinson berjaya mengekalkan pingat emas yang dimenangi mereka dua tahun lalu di Kuala Lumpur selepas menjuari kejohanan itu di Sukan SEA edisi ke-30, Filipina.

Bangga dengan pencapai­an yang diperoleh, Tracey berkata, sejak dari awal lagi dia tidak terlalu bimbang dengan prestasi mereka kerana kesemuanya mempunyai kemahiran individu yang tinggi.

“Saya sentiasa berpesan kepada pemain untuk menggunakan kelebihan itu. Ternyata sikap patuh pada nasihat jurulatih juga menyumbang kepada kemenangan,” ujarnya.

Katanya, tidak dapat dinafikan kehebatan aksi dua orang pemain iaitu An Najwa dan L.Karishma yang tajam menjaringkan gol buat pasukan negara juga sangat membantu.

“Sudah pasti corak permainan yang cemerlang daripada mereka tidak dapat dipertikaikan lagi.

“Dalam masa sama, saya juga perlu memberi pujian kepada pemain lain yang turut bermain dengan baik. Mereka juga memiliki semangat juang yang tinggi,” katanya.

Mengulas lanjut tentang perlawanan sengit antara pasukan Malaysia menentang musuh tradisinya, Singapura yang cukup mendebarkan itu, menurut Tracey, nasib lebih menyebelahi pasukan negara apabila menang dengan skor akhir 48-42.

“Saat yang paling mendebarkan adalah ketika kedua-dua pasukan saling berbalas-balas serangan dan menjaringkan gol. Pasukan negara dipaksa bermandi peluh apabila diberi tentangan sengit,” ujarnya.

Jelasnya, kejayaan itu merupakan emas ketiga buat pasukan negara sepanjang empat kali penampilan dalam temasya dwi-tahunan tersebut dan turut me­lebarkan rekod kemenangan mereka ke atas pasukan Singapura sebanyak 12 perlawanan sepanjang penyertaan dalam Sukan SEA.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas