Berita

KLCFM penuh dengan pengisian Tahun Melawat Melaka 2024

PERSEMBAHAN tari oleh artis budaya memeriahkan acara Melaka Ride N Run pada pagi Ahad lalu.
- Diterbit 21 Julai 2023 8:00 AM MYT

PENGANJURAN Program KL Car Free Morning (KLCFM) atau Kuala Lumpur Bebas Kenderaan bagi edisi 16 Julai (Ahad) di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berlangsung ­meriah dengan ­pelbagai pengisian program menarik.

Menurut DBKL, pengisian kali ini agak berlainan kerana ­ditampilkan oleh Bandaraya Melaka bersempena Tahun Melawat Melaka 2024 ­antaranya beca berhias Melaka, basikal tua Melaka, flash mob dan van bergerak Tourism Melaka.

“Selain itu, kita juga turut ­mengadakan pameran, ­cabutan ­bertuah serta jualan pelbagai makanan di food truck ­seperti ­coconut shake, kopi rewang dan ­ayam goreng.

“Acara utama KLCFM ­juga ­berlangsung meriah dengan ­kehadiran orang ramai dan pelepasan peserta telah ­disempurnakan oleh Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Kebudayaan Negeri Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman,” jelas DBKL dalam satu kenyataan di Facebook.

Turut hadir memeriahkan program Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosioekonomi DBKL, Datuk Azmi Abdul Hamid; Pengarah Eksekutif Pengurusan Projek DBKL, Mohamad Hamim serta Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL, Badrul Hisham Baharuddin.

DBKL memaklumkan program ini merupakan kerjasama di antara KLCFM bersama Kerajaan Negeri Melaka yang akan berlangsung ­pada 1 Januari sehingga 31 Disember ­tahun hadapan dengan bertemakan ‘Mana lagi, Melaka ler…..’.

“Objektif Tahun Melawat Melaka 2024 adalah bertujuan ­mempromosikan negeri itu sebagai sebuah destinasi pelancongan ­unggul di dunia dengan sasaran 15 hingga 18.7 juta pelancong pada ­tahun hadapan,” katanya.

Terdahulu, Program KLCFM adalah sebuah program yang ­diadakan pada setiap ­pagi Ahad untuk mempromosikan ­kempen hijau, pengurangan ­karbon di ­samping memastikan ­warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ­menjalani gaya hidup sihat dan ceria.

Segala kenderaan ­bermotor ­seperti kereta, motosikal, van, lori dan bas tidak dibenarkan memasuki kawasan tersebut ­sepanjang ­program tersebut berlangsung bermula di Jalan Raja Laut, Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), Jalan Sultan Ismail, Jalan Pinang sehingga Dataran DBKL, Kuala Lumpur. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas