Berita

Aaliyah cipta kejutan pada ulang tahun kelahiran

AKSI Aaliyah yang berlangsung di Kompleks Sukan Air Presint 6, Putrajaya.
- Diterbit 21 Julai 2023 10:00 AM MYT

RATU luncur air negara, Aaliyah Yoong Hanifah menerima hadiah istimewa sempena hari ulang tahun kelahirannya ke-20 baru-baru ini apabila berjaya merangkul tiga pingat emas pada Kejohanan Ski Air dan Wakeboard Malaysia.

Pada aksi final yang berlangsung di Kompleks Sukan Air Presint 6, Putrajaya, Aaliyah memenangi pingat emas ­menerusi acara terbuka slalom, terbuka tricks dan terbuka jump.

“Sejujurnya saya tidak berhasrat untuk melakukan yang terbaik dalam kejohanan ini kerana ia adalah untuk ­membawa acara ski di Malaysia selepas tidak diadakan selama empat ­tahun. Tetapi sebaliknya, saya diberkati dengan persembahan yang baik.

“Malah sungguh manis untuk memenangi pada hari ulang tahun kelahiran ke-20,” katanya menerusi satu kenyataan media.

Di samping itu, Aaliyah memaklumkan tumpuannya kini beralih kepada Kejohanan Dunia Terbuka di Florida, Amerika Syarikat pada Oktober depan.

Dia menyasarkan untuk sekurang-kurangnya layak ­sehingga ke final bagi acara jump dan tricks pada kejohanan berprestij itu selepas dijangka berdepan beberapa pencabar hebat dari negara lain.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, yang hadir menyampaikan hadiah kepada pemenang ­pada kejohanan itu, berkata dalam mempromosi bidang sukan air negara, beliau sedang berbincang dengan Perbadanan Putrajaya (PPj) untuk memastikan Kompleks Sukan Air terus diselenggara dengan baik.

“Ini supaya lebih banyak pertandingan seperti ini (ski air) boleh dianjurkan di Malaysia,” katanya yang turut ­menzahirkan penghargaan kepada Aaliyah atas pencapaiannya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas