Berita

KL rendah karbon 2030

|CERMIN yang dipasang di sekitar ROL pecah akibat vendalisme di kawasan bersebelahan Lebuh Ampang.
- Diterbit 28 Jun 2019 2:06 AM MYT

DBKL tingkat usaha tanam pokok hijaukan ibu kota

KUALA LUMPUR – Suasana di ibu kota akan menjadi lebih hijau apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merancang meluaskan aktiviti penanaman pokok di seluruh kawasan Parlimen di sini selaras dengan hasrat membentuk masyarakat rendah karbon menjelang tahun 2030.

Pada masa ini sebanyak 600,000 batang anak pokok telah berjaya ditanam di sekitar ibu negara sejak tahun 2010 sekali gus melepasi sasaran asal 100,000 pokok menjelang tahun 2020.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, kejayaan itu merupakan komitmen DBKL bagi mengurangkan kadar pelepasan gas rumah hijau sehingga 70 peratus menjelang tahun 2030 di Kuala Lumpur.

‘’Program penanaman pokok ini merupakan langkah kerajaan dalam menjadikan bandar raya Kuala Lumpur sebagai Bandaraya Taman Tropika Lestari menjelang 2020 melalui Pelan Penghijauan Kuala Lumpur dan Masyarakat Rendah Karbon Kuala Lumpur 2030,” katanya pada Program Penanaman Pokok di Bukit Rimba Taman Kerinchi di sini baru-baru ini.

Nor Hisham berkata, DBKL melaksanakan aktiviti menanam pokok secara berterusan mengikut kawasan Parlimen dengan lokasi seterusnya di Taman Tasik Danau Kota (Parlimen Wangsa Maju); Jalan Kuang Gunung, Taman Emas, Kepong Baru, Lorong Bidara 3/Jalan Bidara, Taman Kepong Baru (Parlimen Kepong); Keramat Wangsa (Parlimen Setiawangsa); Lorong Dataran Wangsa/Jalan Dataran Wangsa 1, Wangsa Maju (Parlimen Wangsa Maju) dan Taman Pertama, Cheras (Parlimen Cheras) Terdahulu, beliau merasmikan aktiviti penanaman lebih 50 anak pokok daripada tujuh spesies pokok hutan antaranya keruing neram, keruing kertas dan beruas yang disumbangkan Jabatan Perhutanan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas