Berita

Penduduk lega DBKL arah pemaju henti pembinaan

- Diterbit 28 Jun 2019 1:29 AM MYT

KUALA LUMPUR – Penduduk di Jalan Segambut Masjid, Segambut di sini berasa lega apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengarahkan pembinaan sebuah projek perumahan berhampiran dihentikan bagi mengelak kejadian banjir lumpur berulang.

Difahamkan pihak pemaju juga diarahkan untuk mengorek pasir yang mengakibatkan sungai cetek selain membaiki sistem perparitan di kawasan
pembinaan berkenaan.

Penolong Setiausaha Persatuan Pemilik Tanah Lot Kampung Segambut Dalam, Budihardi Sabei berkata, pembinaan tersebut dihentikan sementara supaya pihak pemaju dapat membaiki sistem perparitan yang dikatakan tidak mengikut spesifikasi.

“Penduduk setempat berasa lega selepas arahan tersebut dikeluarkan dan berharap agar masalah banjir lumpur tidak lagi berlaku.

“Pemaju diminta bersedia untuk hadir membantu penduduk sekiranya kejadian banjir lumpur berlaku dalam masa terdekat,” katanya.

Menurut Budihardi, penduduk turut berharap supaya pihak berkuasa sentiasa memantau keadaan perparitan dan sungai berhampiran berikutan terdapat sebuah lagi projek pembinaan dilaksanakan di sekitar kawasan tersebut.

Wilayahku minggu lalu melaporkan mengenai kejadian banjir lumpur di Jalan Segambut Masjid yang tiada penghujungnya sejak tiga tahun lalu ekoran projek pembinaan di kawasan itu.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas