Berita

45 negara sertai Kejohanan Tarik Tali Antarabangsa

- Diterbit 28 Jun 2019 2:25 AM MYT

KUALA LUMPUR – Sebanyak 45 buah pasukan tarik tali dari luar negara bakal mewarnai Kejohanan Tarik Tali Antarabangsa Putrajaya-KL 2019 yang akan diadakan di Kompleks Kejiranan Presint 11, Putrajaya dan Padang Merbok, Kuala Lumpur bermula 26 hingga 31 Ogos ini.

Pasukan yang telah menyatakan persetujuan untuk terlibat dalam acara selama enam hari itu ialah Brunei, China, Pakistan, Nigeria, Afrika Selatan dan Cameroon.

Menurut Setiausaha Kejohanan Tarik Tali Antarabangsa Putrajaya-KL2019, S. Sathiah, sejak pendaftaran dibuka pada April lalu, sambutan yang diterima amat menggalakkan.

“Kita juga sedang berbincang dengan beberapa negara Asia iaitu India, Thailand dan Singapura.

“Dalam masa sama, terdapat juga beberapa buah negara lain yang ingin turut serta namun terpaksa menangguh seketika persetujuan kerana mereka perlu mencari dana terlebih dahulu,” ujarnya.

Tambahnya lagi, pihaknya kini sedang memberikan fokus untuk menarik peserta dalam kalangan pelajar sekolah menengah serta penuntut universiti awam dan swasta tempatan serta peserta dari Eropah.

“Mereka yang berminat masih boleh mendaftar di laman sesawang www.putrajayakl2019. com yang mana yuran komitmen sebanyak RM100 akan dikenakan bagi setiap pasukan tempatan manakala RM414.28 (AS$100) untuk pasukan luar negara,” ujarnya.

Sebelum ini, Wilayahku melaporkan Kejohanan Tarik Tali Antarabangsa Putrajaya- KL2019 menyasarkan sekurang-kurangnya 100 penyertaan daripada 30 negara.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas