Berita

KL, Labuan antara penyumbang tertinggi KDNK

- Diterbit 2 Februari 2024 10:07 AM MYT

WILAYAH Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan antara penyumbang tertinggi bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita di Malaysia.

Perkara berikut dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa sejurus merasmikan Sambutan Hari Wilayah Persekutuan dan Hari Terbuka Putrajaya 2024 di Dataran Putrajaya.

Dr Zaliha berkata Wilayah Persekutuan (WP) menempatkan pusat-pusat bandar yang penting dan merupakan tunjang kepada pembangunan negara Malaysia.

“Kuala Lumpur merupakan ibu negara yang menjadi penanda aras bagi prestasi kemajuan ekonomi Malaysia.

“WP Labuan juga adalah antara wilayah yang mempunyai peranannya yang tersendiri di mana telah menyumbang sebanyak RM1 bilion kepada pendapatan negara pada setiap tahun dan merupakan penyumbang KDNK per kapita kedua tertinggi di Malaysia.

“Dalam usaha ini kita memang ada perancangan yang disasarkan khususnya tahun 2024 dan seterusnya dalam meningkatkan ekonomi bukan sahaja di WP, saya yakin ia juga dapat dirasai oleh negeri sekitar,” ujar beliau pihaknya akan memastikan WP terus memberi sumbangan ekonomi yang tinggi kepada negara.

Tambah Dr Zaliha dengan bertemakan ‘Wilayah MADANI, Rakyat Harmoni’, kerajaan menjadikan pencapaian dan kemajuan pesat yang telah dikecapi oleh WP selama tempoh lima dekad pertama ini sebagai insipirasi untuk terus meningkatkan lagi pembangunan yang mampan di Wilayah Persekutuan untuk dekad-dekad yang mendatang.

“Seiring dengan nilai-nilai Malaysia MADANI yang menjadi tonggak kerajaan pada hari ini, kemajuan dan ketamadunan WP bukan hanya diukur dengan jumlah dan tingginya bangunan semata-mata, namun kepentingan untuk meningkatkan darjat kehidupan rakyat juga perlu diberi keutamaan.

“Sehubungan itu, melalui inisiatif Program Usaha Jaya Insan atau PUJI, Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) komited dalam membasmi kemiskinan tegar dan memperkasakan warga dan ketua isi rumah melalui program-program penjanaan pendapatan, pembangunan usahawan, perlindungan sosial, pendidikan dan sebagainya,” katanya.

Dalam pada itu, sempena meraikan 50 Tahun Wilayah Persekutuan, JWP dan agensi telah merangka sebanyak 61 program sepanjang tahun 2024.

“Sebanyak 23 program dirangka di Kuala Lumpur, 17 program di Labuan dan 21 program di Putrajaya.

“Saya amat berharap agar program seperti ini dapat menjadi medan riadah dan interaksi masyarakat warga Wilayah Persekutuan yang berbilang kaum, selain dapat memperkenalkan fungsi dan perkhidmatan yang disediakan oleh agensi-agensi kerajaan kepada warga WP dan orang ramai yang hadir pada hari ini,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas