Berita

KL Braille Resources hasrat tingkat kemahiran pengajar Braille di sekolah

- Diterbit 31 Disember 2020 8:20 AM MYT

DALAM usaha memberi peluang pendidikan lebih luas kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan, KL Braille Resources berhasrat menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Khas dan Sekolah Pendidikan Khas menganjurkan kem cuti sekolah untuk guru-guru jabatan berkenaan.

Presidennya, Datuk Mah Hassan Omar, berkata kem cuti sekolah itu bertujuan memahami permasalahan literasi Braille, sekali gus meningkatkan kemahiran kalangan tenaga pengajar Braille di sekolah pendidikan khas untuk murid-murid cacat penglihatan.

“Melalui pengamatan kami, masih ada guru-guru yang tidak cekap dengan sistem tulisan ini kerana mereka tidak dilatih dengan baik untuk menguasainya.

“Secara tidak langsung, kemampuan mereka untuk mengajar semua murid yang cacat penglihatan tidak mencapai objektif,” katanya kepada Bernama.

Mah Hassan yang juga OKU penglihatan berkata adalah penting untuk tenaga pengajar menguasai sistem tulisan itu kerana pihak sekolah pendidikan khas diwajibkan mengajar Braille di bawah Akta OKU 2008.

“Kami maklum bahawa ilmu adalah penting kepada kesejahteraan kehidupan manusia. Begitu jugalah kepada mereka yang buta dan pekak, mereka juga ingin menulis dan membaca seperti orang lain.

“Tetapi disebabkan mereka ditakdirkan hilang daya penglihatan dan pendengaran maka pilihan yang ada hanyalah melalui sistem tulisan ini,” katanya yang mencipta sejarah sebagai orang buta pertama ditauliahkan sebagai peguam di Malaysia.

Pada masa sama, Mah Hassan yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Malaya berkata pihaknya turut memperkenalkan Edu Braille atau Papan Pengatur Huruf Braille sebagai kemudahan pembelajaran awal untuk kanak-kanak dan orang yang baharu belajar Braille.

“Alat ini juga merupakan kaedah mengajar Braille dengan cara pantas berikutan pengajaran Braille memerlukan tiga peringkat untuk dikuasai.

“Ia bermula dengan tahap pertama iaitu sensitiviti atau deria rasa jari mereka diikuti mengenal abjad seterusnya proses membina ayat,” katanya yang memiliki syarikat guaman sendiri, Mah & Association.

Selain itu, Mah Hassan berkata pihaknya turut menawarkan kursus percuma kepada mana-mana individu yang hilang penglihatan pada usia dewasa.

“Asalnya mereka ini celik tetapi mungkin kerana kemalangan atau masalah kesihatan, mereka menjadi buta pada usia dewasa. Namun, mereka masih ada keinginan untuk membaca,” katanya yang turut menghasilkan alat tulis Braille pertama keluaran Malaysia dengan kerjasama Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) yang dinamakan Brailet.

Sehubungan itu, katanya, Hari Braille Sedunia yang disambut pada 4 Jan setiap tahun wajar dirai di peringkat negara bagi membangkitkan kefahaman dan keprihatinan masyarakat terhadap keperluan Braille dalam bidang pendidikan.

“Ilmu dan keperluan mengakses maklumat bagi mereka yang hilang upaya penglihatan adalah penting kerana kami mahu  golongan ini menjadi rakyat yang ada jati diri, berdaya saing dan produktif supaya boleh menjadi aset kepada negara,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas