Berita

Henti polemik garis panduan arak DBKL – Firdaus Wong

- Diterbit 31 Disember 2020 8:54 AM MYT

GARIS panduan baharu pelesenan minuman keras (LMK) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang akan berkuatkuasa pada Oktober 2021 tidak sepatutnya dipolemikkan sehingga mengakibatkan kekeliruan dalam masyarakat.

Ini kerana, kata Presiden Multiracial Reverted Muslims (MRM), Firdaus Wong, akibat daripada ‘diskusi’ internet, garis panduan baharu itu disalah tafsir sehingga masyarakat bukan Islam menyangka ia sebagai satu pengharaman.

“Kita tidak masuk campur isu agama, ia bukan menghalang tetapi dihadkan waktu dan lokasi penjualan.

“Jika mereka mengatakan ia sebagai hak, bagaimana hak rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan tidak meminum arak?

Bagaimana hak untuk mereka hidup dalam keadaan aman dan selamat daripada pemandu yang mungkin mabuk dan mengancam nyawa?,” ajunya susulan masih ramai masyarakat yang mempersoalkan garis panduan baharu LMK DBKL.

Beliau yang juga pendakwah bebas berkata, pelbagai masalah sosial dan keganasan termasuk kemalangan maut berlaku disebabkan individu mabuk.

Justeru, katanya, peraturan yang ditambahbaik itu diwujudkan untuk mengawal kemudahdapatan penjualan dan pengambilan minuman beralkohol sekali gus memastikan keselamatan serta kesihatan warga kota terpelihara.

Mengambil contoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jelas Firdaus Wong, kerajaan menguatkuasakannya bagi menghalang penularan wabak COVID-19 dan memastikan kemaslahatan seluruh masyarakat sama ada Islam atau bukan.

Dalam pada itu, beliau juga berharap agar undang-undang yang akan dikuatkuasakan pada Oktober 2021 itu turut meliputi bir walaupun kandungan alkoholnya sedikit.

Menurutnya, kebanyakan peminum akan mengambil bir dalam kuantiti yang banyak sehingga memabukkan.

“Bir juga sejenis minuman yang memabukkan. Mungkin ramai yang kata kandungan alkoholnya lebih rendah berbanding arak tetapi jika diambil dalam kuantiti yang banyak.. mereka juga akan mabuk,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas