Berita

KKM saran tangguh dulu operasi sektor tambahan

DR. NOOR HISHAM
- Diterbit 11 April 2020 10:34 AM MYT

PUTRAJAYA – Kerajaan disarankan untuk menangguhkan dahulu beberapa sektor tambahan yang dibenarkan beroperasi menjelang fasa ketiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 15 Mac nanti.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya melihat tanda-tanda kejayaan dalam memerangi Covid-19 pada fasa satu dan dua serta berlakunya pengurangan kes apabila sempadan dan pergerakan dikawal.

“Oleh demikian, pada fasa tiga ini semua tindakan juga diperketatkan selain tindakan pada fasa satu dan dua perlu dikekalkan. Perancangan boleh tetapi pelaksanaannya perlu ditangguhkan dahulu.

“Malah, selepas fasa tiga kita perlu memantau data dan melihat adakah mencapai unjuran dalam membanteras Covid-19,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Pada masa sama, jelas Dr Noor Hisham, pihaknya juga menjangkakan kesemua aktiviti kelaziman masyarakat juga mungkin tidak boleh dilakukan selepas fasa tiga.

Katanya, masyarakat perlu mengamalkan jarak selamat selain tiada perhimpunan yang boleh membawa kebarangkalian untuk berjangkit.

“Kita perlu memutuskan rantaian Covid-19 walaupun PKP telah tamat. Malah, industri yang dibenarkan beroperasi juga perlu dilihat selain memantau cara pelaksanaan aktiviti harian.

“Kita akan memberi nasihat dari semasa ke semasa untuk semua peringkat termasuk cadangan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk menghantar pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang berada di kampus untuk pulang ke rumah masing-masing,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas