Berita

Covid-19: 184 kes baharu, kematian catat kes ke-73

PETUGAS perubatan masih sempat menunaikan kewajipan solat meskipun sibuk mengendalikan kes Covid-19. Gambar hiasan KKM
- Diterbit 11 April 2020 10:51 AM MYT

PUTRAJAYA – Jumlah kes positif Covid-19 terus meningkat ke 4,530 kes selepas 184 kes baharu dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dalam masa sama 165 pesakit dibenarkan keluar hospital menjadikan jumlah keseluruhan yang pulih 1,995 kes.

“Kementerian Kesihatan mendapati kes yang aktif dengan kebolehjangkitan berjangkit sebanyak 2,462 kes.

“Ia berdasarkan kes kumulatif yang ditolak dengan pesakit pulih serta kematian.

“Namun, semua pesakit membabitkan kes kebolehjangkitan ini telah diasingkan untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Ketika ini, Dr Noor Hisham memaklumkan sebanyak 72 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) yang mana 38 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Dalam pada itu, beliau berkata, terdapat pertambahan tiga kematian berkaitan Covid-19 kesemuanya warganegara Malaysia menjadikan jumlah keseluruhan adalah sebanyak 73 kes atau 1.61 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Katanya, kes kematian ke-71 merupakan lelaki berumur 66 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi manakala kes kematian ke-72 juga merupakan lelaki berumur 71 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit jantung.

“Bagi kes kematian ke-73 pula merupakan lelaki berumur 63 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi.

“Kita ingin memaklumkan mengikut trajektori unjuran pada 14 April nanti apabila tamatnya fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), unjuran kes-kes positif dengan kebolehjangkitan adalah dijangka lebih kurang 2,033 kes.

“Ini tanda-tanda kejayaan PKP fasa pertama dan fasa kedua menurunkan kebolehjangkitan Covid-19 dalam komuniti.

“Oleh demikian, kita ingin menasihatkan orang ramai untuk terus membantu kerajaan dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan Covid-10 dengan kekal duduk di rumah, mengamalkan jarak selamat sekurang-kurangnya satu meter dan kerap mencuci tangan,” katanya. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas