Berita

10 kaunter PPZ-MAIWP dilanjutkan operasi

AHMAD Shukri (tengah) ketika sidang media selepas Majlis Pelancaran Kempen Year End Zakat di pejabat PPZ-MAIWP baru-baru ini. - Gambar hiasan
- Diterbit 27 Disember 2019 8:18 AM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]

PUTRAJAYA – Masa pengoperasian bagi 10 Kaunter Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) akan dilanjutkan sehingga pukul 9 malam.

Kaunter terlibat adalah, Dataran Shamelin (ibu pejabat PPZ-MAIWP); Plaza RAH, Kampung Baru; Seksyen 5, Wangsa Maju; UTC KL, Pudu Sentral; Masjid Negara; Masjid Al-Ghazali, Kepong; Anjung Niaga Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr. Ismail; Labuan Times Square, Labuan serta Presint 9 dan Presint 15 Diplomatik, Putrajaya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Shukri Yusoff berkata, lanjutan itu bagi memudahkan umat Islam menjalankan kewajipan menunai zakat pada hujung tahun ini.

Ujar beliau, kaunter zakat yang terlibat akan dibuka bermula pukul 8.15 pagi setiap hari termasuk Sabtu dan Ahad.

“Pembayar boleh menunaikan semua jenis zakat seperti zakat pendapatan, zakat wang simpanan, zakat KWSP, zakat perniagaan, zakat saham, zakat emas dan qada zakat sepanjang Disember.

“Pembayar juga digalakkan datang bersama ahli keluarga ketika hadir membayar zakat di kaunter PPZ-MAIWP kerana jamuan makan disediakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Ahmad Shukri, selain pembayaran di kaunter, orang ramai boleh menggunakan khidmat atas talian menerusi www.zakat.com.my atau Perbankan Internet.

Tambah beliau, urusan pembayaran perlu disegerakan sebelum 31 Disember ini bagi mendapatkan rebat cukai pendapatan tahun 2019.

“Pembayar yang membayar zakat turut diberikan kelebihan atas kesetiaan dengan melayakkan mereka dilindungi Skim Kafalah Muzakki. Skim ini melayakkan waris menerima sumbangan sejumlah RM3,000 jika berlaku kematian kepada pembayar zakat,” jelasnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas