Berita

KKK medium galak komuniti hasilkan produk kraf

DATUK Dr Aminuddin Hassim meluangkan masa melihat sebahagian peserta Program KKK menghasilkan produk kraftangan berasaskan jahitan di Dewan Kompleks Kejiranan Presint 9, Putrajaya.
- Diterbit 15 Ogos 2020 4:25 AM MYT

BAGI memperkasa penglibatan komuniti di dalam penghasilan produk kraftangan beridentitikan Putrajaya, Perbadanan Putrajaya (PPj) kini tampil memperkenal Program Kraf Komuniti Ku (KKK) sebagai salah satu inisiatif prihatin dalam usaha membantu rakyat di akar umbi.

Presiden PPj, Datuk Dr. Aminuddin Hassim ketika melancarkan program itu berkata, KKK adalah antara inisiatif prihatin PPj bagi membantu warga setempat untuk menjana pendapatan isi rumah terutamanya golongan sasar seperti suri rumah, kumpulan B40 dan orang kelainan upaya (OKU).

Beliau berkata, penganjuran edisi kedua program KKK itu merupakan hasil kerjasama strategik PPj dengan pihak Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan.

“Berdasarkan perancangan ada dua siri program KKK akan berlangsung tahun ini. Siri pertamanya, pada 15 dan 16 Ogos adalah untuk penghasilan produk kraf yang berasaskan seni jahitan seperti topeng pelitup muka dan beg.

“Manakala siri kedua pula akan diadakan pada 24 dan 25 Oktober depan khusus untuk penghasilan produk kraf sulaman riben. Seramai 60 peserta secara keseluruhan dijangkakan terlibat di dalam bengkel-bengkel yang diadakan,” katanya dalam pelancaran Program KKK di Kompleks Kejiranan Presint 9, Putrajaya, di sini pada Sabtu.

Hadir sama ke majlis Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Ainu Sham Ramli dan Pengarah Bahagian (Seksyen Pembangunan dan Usahawan Kraf) Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Abd. Rahman Omar.

Berdasarkan rekod, pada tahun 2019, program ini berjaya menarik penyertaan lebih 50 usahawan dan lapan daripadanya telah pun berjaya menjana pendapatan tambahan.

Antara penghasilan produk kraf boleh dipelajari oleh setiap peserta yang mengikuti program KKK ini termasuk produk jahitan berbentuk soft toys, travel set, beg yang diserlahkan lagi dengan imej bangunan-bangunan indah dan jambatan ikonik Putrajaya serta produk batik berasaskan teknik ikat celup dan shibori.

Menurut Aminuddin, produk-produk dihasilkan ini dipasarkan melalui outlet Karyaneka di Dataran Putra, Presint 1 sebagai sebahagian cenderamata kepada pengunjung-pengunjung di Putrajaya.

“Perlaksanaan program ini juga sebahagian dari inisiatif pembangunan produk kraf beridentitikan Putrajaya, makmal pengeluaran, jaminan kualiti serta pasaran produk selain kemudahan promosi yang dipantau serta dibantu rapat oleh kedua-dua agensi terlibat.

“Ini secara langsung dapat menyokong hasrat PPj dalam merealisasikan objektif Community Based Tourism seterusnya mewujudkan produk berasas cenderamata beridentitikan Putrajaya yang mana diusahakan oleh komuniti setempat,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas