Berita

Mendayung 14 kilometer keliling Tasik Putrajaya sempena Merdeka 2020

- Diterbit 14 Ogos 2020 10:54 AM MYT

SEMPENA sambutan Hari Kebangsaan 2020 tahun ini, Kelab Tasik Putrajaya (KTP) akan menganjurkan acara Merdeka Paddle Day 2020 buat kali ke-2 pada 30 Ogos 2020.

Acara yang bermula seawal 7 pagi ini bukan hanya menguji ketahanan peserta mendayung mengelilingi Tasik Putrajaya sejauh 14 kilometer (km) bahkan dianjurkan untuk menggalakkan rakyat Malaysia menghargai kedaulatan negara di samping mengamalkan gaya hidup sihat.

Antara elemen yang diketengahkan ialah setiap peserta membawa Jalur Gemilang yang akan diletakkan pada setiap fasiliti sukan air yang digunakan.

Perlepasan peserta dijangka akan dilakukan oleh Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Dr Aminuddin Hassim yang juga merupakan Pengerusi KTP.

Kayuhan bermula di KTP dan akan melalui pelbagai lokasi menarik di sekitar Putrajaya seperti Masjid Putra, Jambatan Putra, Jambatan Seri Gemilang, Marina Putrajaya, Anjung Floria, Monumen Alaf Baru, Jambatan Seri Wawasan dan seterusnya berakhir di KTP semula.

Sebanyak empat jenis sukan air terlibat dalam acara kali ini iaitu kayak, perahu panjang, luncur air kayuh berdiri dan sukan air mendayung.

Yuran Penyertaan yang dikenakan adalah RM53 bagi ahli KTP, RM65 untuk bukan ahli manakala RM53 bagi yang membawa peralatan sendiri.

Untuk pendaftaran boleh hubungi Syazwan di talian 03-8889 5008 / 018-236 5780. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas