Berita

Kempen “Welcome Back” lambang keprihatinan Kumpulan Suria KLCC terhadap masyarakat

|
- Diterbit 15 Ogos 2020 6:16 AM MYT

MENGETENGAHKAN konsep ‘Safe & Easy Shopping‘ sebagai tema utama pasca MCO bagi meningkatkan kesedaran dan keyakinan pembeli, Kumpulan Suria KLCC tampil dengan kempen terbarunya iaitu ‘Welcome Back’.

Kempen baharu itu sejajar dengan tanggungjawab sosial korporat (CSR) Kumpulan Suria KLCC yang kini menjalinkan kerjasama dengan Komuniti Tukang Jahit (KTJ) menerusi penghasilan pelitup muka rekaan batik yang boleh diguna pakai semula.

Suria KLCC dalam satu kenyataan memaklumkan, ‘Essential Kit’ yang terdiri daripada pelitup muka bercorak batik dan tisu pembasmi kuman berasaskan alkohol itu akan diedarkan secara percuma kepada pembeli.

“Sebanyak 50 unit pelitup muka batik akan diedarkan setiap hari kepada pembeli yang mana keutamaan diberikan kepada warga emas, wanita hamil, ibu bapa bersama keluarga dan orang kurang upaya (OKU).

“Di Alamanda pula, pelitup muka rekaan batik (untuk orang dewasa dan kanak-kanak) akan diedarkan dengan perbelanjaan minimum RM50 dalam satu resit dan ia terhad kepada 100 sehari. Pelaksanaan itu sejajar dengan tema ‘We Are With You’ dari 14 hingga 23 Ogos ini.

“Manakala bagi Mesra Mall yang turut memperkenalkan tema sama bermula 10 Ogos hingga 24 November nanti, pelitup muka bercorak batik (untuk orang dewasa dan anak-anak) akan diedarkan setiap hari pada hari bekerja. Ia terhad kepada 30 unit setiap hari,” kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, kenyataan turut memaklumkan, selain pemberian percuma pelitup muka batik, Suria KLCC akan menawarkan rebat caj parkir kenderaan dari 7 Ogos hingga 6 September 2020 bagi mereka yang memandu.

Katanya, jumlah rebat yang ditawarkan bernilai RM10 dengan jumlah yang dibelanjakan dan pembeli boleh menebus rebat di mana-mana kedai terpilih.

Jelasnya, pada masa sama Suria KLCC memberi baucar perbelanjaan bernilai RM50 dan baucar makan RM10 dari 7 Ogos hingga 6 September ini pada setiap hari bermula pukul 5 petang hingga 8 malam tanpa sebarang perbelanjaan diperlukan dan baucar tersebut sah di kedai-kedai terpilih di Suria KLCC.

“Suria KLCC juga akan memberi belon atau bunga serta tisu pembasmi kuman selain baucar makan RM10. Pemberian ini terhad kepada 5,000 keping baucar sepanjang keseluruhan kempen yang berlangsung dari 2 hingga 16 Oktober 2020.

“Bagi mengalu-alukan pelanggan kembali ke Suria KLCC, 50 unit pelindung muka untuk kanak-kanak (6-12 tahun) akan diedarkan bermula 2 Oktober hingga 31 Disember 2020.

“Kepelbagaian dokongan inisiatif akan diumumkan pada bulan September kelak sejajar dengan inisiatif Suria KLCC untuk meningkatkan tahap keyakinan para pengunjung untuk kembali ke pusat bandar Kuala Lumpur,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas