Berita

Kempen ‘Light It Blue’, orang ramai tidak perlu keluar rumah

ANNUAR bercakap mengenai kempen Light It Blue dalam temubual di Bernama Radio hari ini.
- Diterbit 28 April 2020 3:43 PM MYT

KUALA LUMPUR – Kempen ‘Light It Blue’ yang mendapat sambutan masyarakat dunia termasuk Malaysia merupakan satu simbol solidariti penghargaan kepada petugas barisan hadapan yang berkorban dalam ‘peperangan’ melawan Covid-19.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr. Annuar Musa berkata, tujuan utama kempen tersebut adalah sebagai penghargaan terhadap petugas barisan hadapan yang mengambil risiko besar untuk membantu memutuskan rangkaian wabak tersebut.

“Oleh kerana dunia tidak pernah melihat satu perang melawan virus atau apa-apa bencana yang berlaku secara global, maka kita melihat mereka tidak ada pilihan lain terutamanya kepada para doktor dan jururawat kerana ia merupakan tuntutan profesion mereka.

“Apabila seseorang pesakit yang dijangkiti virus itu dibawa ke hospital, mereka tahu bahawa itu merupakan bahaya yang berada di hadapan mereka,” katanya dalam temubual di Bernama Radio hari ini.

Annuar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri WP berkata, kempen ‘Light It Blue’ akan bermula pada malam 30 April sehingga pukul 1 pagi 1 Mei ini sempena Hari Pekerja dan ia berterusan selama tiga malam berturut-turut.

“Apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, maka kerajaan terpaksa menggerakkan agensi lain dan ia tidak hanya tertumpu kepada pekerja bidang perubatan sahaja.

“Antara agensi yang terlibat adalah Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), pihak berkuasa  tempatan dan agensi-agensi yang lain,” katanya.

Tambah Annuar, kempen  sama sebelum ini telah dijalankan di United Kingdom pada Mac lalu.

“Beberapa bangunan ikonik di United Kingdom telah menjalankan kempen ini dan diberikan sambutan hangat oleh rakyat negara itu. Kebanyakan bangunan, jambatan dan Menara telah dipancarkan dengan warna biru sebagai tanda penghargaan kepada petugas barisan hadapan.

PINTASAN Saloma di Kampung Baru turut dipasang lampu biru bagi menyemarakkan lagi kempen Light It Blue.

“Dan pada April ini, kempen yang sama akan mewarnai bandar raya Seattle dan juga bandar-bandar raya di Amerika Syarikat,” katanya.

Annuar memberitahu, kempen di Kuala Lumpur akan bermula pada malam 1 Mei dengan cahaya biru bakal dipancarkan di Lintasan Saloma, Kampung Baru selama beberapa jam.

“Kemungkinan kempen itu akan dipancarkan di bangunan ikonik di Kuala Lumpur seperti Menara Berkembar Petronas (KLCC) dan bangunan ikonik di Putrajaya,” katanya.

Annuar berkata, visual mengenai kempen ini akan dipancarkan melalui media elektronik dan orang ramai tidak perlu keluar rumah untuk menyaksikannya kerana perlu mematuhi PKP hingga 12 Mei ini.

“Ia bukan satu pesta yang perlu disambut oleh seluruh warga kota dan mereka juga tidak perlu berbelanja untuk membeli lampu berwarna biru.

“Mereka boleh menyaksikan peristiwa itu melalui media sosial kerana ia pasti akan ditularkan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas