Artikel

Menelusuri sejarah Kuala Lumpur

MERCU tanda Kuala Lumpur yang terletak di Dataran Merdeka menjadi tumpuan orang ramai dan para pelancong. MERCU tanda Kuala Lumpur yang terletak di Dataran Merdeka menjadi
- Diterbit 24 Ogos 2020 1:00 PM MYT

BANGUNAN Sultan Abdul Samad masih kukuh berdiri walau sudah berusia lebih 10 dekad. Begitu juga Masjid Jamek.

Sesungguhnya Kuala Lumpur yang asalnya hutan dan kawasan lombong bijih, menyimpan banyak bangunan atau lokasi bersejarah yang tidak kesemuanya diketahui oleh orang ramai.

Saksikan keindahan seni bina Bangunan Sultan Abdul Samad yang mula dibina pada 1894 dan siap pada 1897.

Sehingga kini ia masih berdiri megah melatari keindahan padang Kelab Selangor yang menghijau, mewarnai pertumbuhan bandar raya.

Begitu juga Masjid Jamek yang mula dibina pada Mac 1908 dan siap Disember 1909, dirasmikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sir Alaeddin Sulaiman Shah.

Juga Pasar Seni yang dibina pada 1888 dan Panggung Bandaraya yang siap dibina pada 1904. Ini hanya sekadar menyebut beberapa buah bangunan sebagai contoh.

Selain itu banyak pula bangunan perniagaan dan kedai lama terdapat di beberapa tempat di Kuala Lumpur.

Ada yang sudah dibaiki semula, diperindah tetapi tetap mengekalkan ciri-ciri bangunan bersejarah.

Memandangkan rentetan sejarah yang panjang sejak Kuala Lumpur mula dibuka di lokasi pertemuan Sungai Gombak dan Sungai Klang, dan banyaknya warisan sejarah sepanjang ia tumbuh dan berkembang hingga seperti yang ada hari ini, Adi berpendapat memang wajar sekali aspek warisan sejarah dijadikan sebagai salah satu tarikan pelancong ke ibu negara.

Difahamkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah mengenal pasti 353 lokasi dan bangunan sebagai bahan bersejarah yang dimasukkan dalam ‘Projek Jejak Warisan’.

Kesemuanya berpotensi menjadi tarikan pelancong dan seterusnya merancakkan sektor pelancongan di ibu negara.

Adi menyokong usaha positif DBKL ini. Selama ini beberapa lokasi atau bangunan bersejarah di Kuala Lumpur lebih banyak terpahat sebagai bahan warisan yang sekali pun dikunjungi ramai namun ia hanya bagai sekali lalu sambil mengambil gambar kenangan.

Misalnya di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad, ramai yang datang mengambil gambar berlatar belakangkan bangunan itu dan padang Kelab Selangor.

Mereka datang hanya untuk melawat dan bukan menghayati bangunan tersebut dan juga sejarahnya.

Begitu juga dengan Masjid Jamek. Sudah sekian lama ia menjadi tumpuan orang ramai bersolat fardu atau solat Jumaat sehinggakan berasa ia hanya sebagai sebuah masjid biasa sedangkan ia menyimpan banyak sejarah.

Oleh itulah Adi merasakan langkah DBKL untuk menjadikan bangunan-bangunan seperti ini dan lokasi lain sebagai tarikan pelancongan memang kena pada masanya.

Seperti yang dinyatakan oleh Datuk Bandar, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan, projek ini akan dilaksanakan melalui konsep ‘Jejak Warisan’.

Ia merupakan siri pertama daripada ‘Projek Jejak Warisan’ sepanjang 1.5 kilometer yang bermula di Panggung Bandaraya dan bersambung melalui Terowong Misteri Bukit Nanas. Dalam  perjalanan ia akan merentasi Masjid Jamek.

Ramai yang tidak tahu ada sebuah masjid berhampiran Masjid Jamek yang wujud sebelum Masjid Jamek. Masjid ini di namakan Masjid Java Street yang dibina pada tahun 1870-an.

Kerana itulah Adi merasakan ‘Projek Jejak Warisan’ ini sangat bermanfaat kepada orang ramai untuk mengetahui sejarah lama yang selama ini di luar pengetahuan mereka.

Maklumat inilah yang perlu dikongsi baik dengan pelancong tempatan atau luar.

Menurut Datuk Bandar, maklumat mengenai bangunan atau tempat bersejarah ini akan dipaparkan di papan-papan tanda (signboards) atau melalui aplikasi atas talian lain untuk panduan orang ramai.

Sehingga ini Adi difahamkan sebanyak 17 cacatan sejarah telah dikumpulkan termasuk fasa akhir Perang Klang (Perang saudara Selangor) dengan 11 lokasi yang boleh diakses dengan mudah dengan berjalan kaki.

Proses verifikasi bangunan dan lokasi bersejarah ini memang mengambil masa.

Sebanyak 353 lokasi yang dikenal pasti itu pula belum termasuk di pinggir bandar seperti Wangsa Maju, Kepong dan lain-lain.

“Adi menyokong usaha positif DBKL ini. Selama ini beberapa lokasi atau bangunan bersejarah di Kuala Lumpur lebih banyak terpahat sebagai bahan warisan yang sekali pun dikunjungi ramai namun ia hanya bagai sekali lalu sambil mengambil gambar kenangan

Adi ingin mencadangkan agar kesemua lokasi atau bangunan yang termasuk dalam ‘Projek Jejak Warisan’ ini dijadikan sebagai ‘kawasan mesti lawat’ oleh para pelancong.

Pemandu pelancong hendaklah membawa para pelancong kendalian mereka melawat tempat-tempat ini.

Justeru Adi syorkan selain maklumat melalui papan tanda atau aplikasi atas talian, letakkan juga papan maklumat di setiap lokasi dan bangunan bersejarah ini. Jadi apabila pelancong datang mereka boleh terus mendapat maklumat segera mengenai sejarah atau asal usul tempat yang mereka lawati. Konsepnya seperti muzium atau galeri.

Jika segala usaha DBKL melaksanakan Projek Jejak Warisan berjalan lancar, Adi percaya Kuala Lumpur bakal terkenal sebagai bandar raya warisan sejarah serta mampu menarik lebih ramai
pelancong.

Selama ini jika ingin melawat tempat bersejarah, ramai akan bertumpu ke Melaka.

Negeri itu juga berjaya membangunkan tempat bersejarah seperti Perigi Hang Tuah, Kota A Famosa, Perigi Hang Li Po dan lainlain sehingga dikenali sebagai destinasi pelancongan sejarah.

Bangunan bersejarah juga dihias dan dicat semula, termasuk di tebing Sungai Melaka.

Ini menyajikan pemandangan indah kepada pelancong sambil mereka menyusuri Sungai Melaka dengan menaiki bot serta menikmati keindahan Kampung Morten di keliling sungai itu.

Namun dengan program ‘Jejak Warisan’ DBKL, Adi percaya Kuala Lumpur yang memang menjadi tumpuan pelancong, juga mampu menjadi detinasi pelancongan sejarah.

Ramai pasti ingin tahu secara mendalam sejarah pembangunan kawasan yang asalnya lombong bijih sehingga menjadi bandar raya kosmopolitan yang maju dan makmur.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas