Selebriti

“Kibarkan bendera putih, jangan malu” – Artis popular prihatin

Che Ta dan Hanez prihatin nasib rakyat
- Diterbit 5 Julai 2021 8:12 AM MYT

PANDEMIK COVID-19 telah menyebabkan rakyat terjejas dan sesetengah mereka sudah tidak mampu menanggung tekanan hidup.

Akhir-akhir ini, hampir setiap hari kejadian bunuh diri, kemurungan dan jenayah kerana kesusahan hidup dilaporkan.

Melihat situasi yang semakin membimbangkan ini, warga maya mengorak kempen ‘kibarkan kain putih’ bagi golongan yang memerlukan bantuan keperluan harian.

Individu atau keluarga yang mengalami kesusahan seperti tiada makanan dinasihatkan menaikkan bendera di rumah masing-masing agar masyarakat sekeliling sedar akan bantuan yang perlu dihulurkan.

Kempen bendera putih ini sebenarnya membawa misi supaya setiap daripada kita lebih peka dan prihatin keadaan sekeliling.

 

“Tidak perlu merayu” – Fedtri Yahya

Pengacara dan penulis lirik popular, Fedtri Yahya,39, berharap masyarakat yang hidup susah hanya perlu mengibarkan bendera putih agar kesusahan mereka disedari orang sekeliling.

“Naikkan bendera putih di kediaman anda jika memerlukan bantuan makanan dan keperluan. Ada mulut yang nak disuap, ada beban yang perlu diringankan.

“Jangan ambil tindakan yang merugikan diri dan orang tersayang. Elakkan stres. Tidak perlu merayu dan malu. Hanya kibarkan kain putih, semoga ada yang membantu.”

FEDTRI Yahya

 

Hanez Suraya harap masyarakat kongsi masalah

Pelakon yang juga usahawan Hanez Suraya,35, menegaskan agar masyarakat yang hidup susah lebih berfikiran positif dengan berkongsi masalah.

“Kepada semua yang dalam kesusahan dan tiada makanan, tiada barang keperluan, naikkan bendera kain putih di kediaman anda.

“Biar orang sekeliling pakat bantu sedikit sebanyak yang termampu.

“Tolong jangan ambil tindakan yang meremukkan hati orang yang tersayang. Berkongsilah masalah dengan orang lain.

“Tak perlu merayu, tak perlu malu. Kibar saja bendera kain putih. Semoga ada yang datang membantu.

“Kepada rakyat Malaysia kalau ternampak rumah mengantung bendera putih , pergilah bertanya dan jika mereka memerlukan bantuan bantulah semampu boleh. Tanyakan apa yg diperlukan.

“Mohonlah masuk untuk melihat dan kepada yang memerlukan bantuan bermurah hatilah beri orang yang nak membantu melihat sendiri keperluan anda. Jangan malu jangan segan. Melayu , Cina , India dan lain2 , jangan kira agama dan bangsa.”

 

“Jangan segan” – Catriona Ross

Pelakon popular Catriona Ross,40, berharap masyarakat tidak ada rasa malu atau segan apabila melalui saat-saat sukar.

“Usahlah tutup malu andai sudah tak punya. Jangan segan sedangkan akal dah buntu.

“Fikirkanlah keluarga, anak serta jiwa. Percaya, akan ada yang datang bantu.

“Kibarkan bendera atau kain putih di jendela atau pagar rumah, Insya Allah akan ada bantuan yang tiba. Rakyat jaga rakyat.”

CATRIONA Ross

 

Bendera putih lambang keadaan ‘nazak’ – Fauziah Nawi

Bagi pelakon hebat Fauziah Nawi,68, pula, bukan mudah untuk seseorang atau keluarga mengibarkan bendera putih melainkan keadaan mereka betul-betul memerlukan bantuan.

“Ada rumah yang memasang bendera putih bererti mereka dalam keadaan ‘nazak’. Makanan dah kehabisan. Duit habis.

“Tak makan sehari atau dah lebih hari. Jika melihat bendera putih di kawasan perumahan anda, mohon beri bantuan.”

FAUZIAH Nawi

 

“Jangan simpan kesusahan” – Rozita Che Wan

Selebriti terkenal Rozita Che ,48, menganggap masyarakat badalah sebuah keluarga besar yang perlu saling membantu dalam sama-sama mengharungi dugaan pandemik COVID-19 ini.

“Jika anda terputus bekalan makanan atau berdepan masalah, jangan segan dan ambil langkah kibarkan bendera putih sebagai tanda simbolik di saat waktu getir ini.

“Kita bantu apa adanya. Kita sebuah keluarga besar, sama- sama meneruskan kehidupan di saat yang tak terduga ini. Insya Allah yang dekat dan nampak bendera itu akan cuba membantu.

“Jangan simpan kesusahan dan kedukaan itu kerana ramai yang terkesan. Moga kita terus dilindungi dan sama sama tolong masyarakat di negara kita.”

 

Cara cepat kenal pasti keluarga susah – Aishah

“Bagi saya idea untuk mereka yang sangat terkesan oleh pandemik ini dengab mengibarkan bendera putih satu idea yang baik. Ianya adalah satu cara paling cepat untuk kita kenal pasti famili mana yang sudah sampai tahap kritikal dalam kawasan kejiranan kita,” luah penyanyi lagu Janji Manismu, Aisyah,56.

Bagi Aisyah, keluarga susah tidak perlu tunggu lama atau melalui proses birokrasi untuk mendapatkan bantuan.

“Ini untuk kes-kes yang kehabisan terus bekalan makanan atau yang stres sangat hingga kaki sebelah dah julur ke bawah balkoni tau.

“Nak suruh mereka ni tunggu hingga bulan Ogos ke? Dalam Islam pun tak ajar angkat tangan untuk berdoa saja tanpa ada ikhtiar.

“Sekurang-kurangnya mereka yang berkemampuan bila nampak signal ‘bendera putih’ dah tahu di mana bantuan perlu disalurkan.

“Kalau tak nak bendera putih pun tak apa,sangkutlah bendera warna apa pun merah,biru,oren,hijau waima ten milo ke,tin susu ke janji ianya berfungsi sebagai tanda yang situasi di sesuatu rumah itu sudah kritikal.

“Tidak usah cerita pasal aiblah bila keadaan kritikal sebegini.Fikirlah semula kenapa rakyat sendiri kena cadangkan sistem ini?”

AISHAH
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas