Berita

Siti Nurhaliza dan NGO beri bantuan khas kanak-kanak melalui Bantuan Prihatin 2021

|
- Diterbit 4 Julai 2021 8:02 AM MYT

BANTUAN Prihatin 2021 yang dianjurkan oleh Yayasan Nurjiwa dan keluarga CTDK Holdings Sdn.Bhd menyasarkan penyampaian sumbangan kepada golongan kanak-kanak daripada keluarga yang memerlukan sepanjang PKP dan PKPD di seluruh Selangor dan di Kuala Lumpur.

Program bantuan ini turut disertai oleh syarikat Ikhlas.com, Mommyhana Creative Sdn.Bhd., Yayasan Rosni Noor dan L&K Multivision Sdn.Bhd.

Pihak Yayasan Nurjiwa dan keluarga CTDK Holdings iaitu SimplySiti, BeauSiti dan BeauTYRA mengalu-alukan lebih ramai individu, syarikat dan NGO untuk menyertai usaha ini sebagai Rakan Kolaborasi Prihatin.

Pengasas Yayasan Nurjiwa merangkap Presiden CTDK Holdings Sdn.Bhd, Dato’ Sri Siti Nurhaliza berharap agar program bantuan ini akan dapat meringankan beban keluarga yang mempunyai anak kecil.

Jelasnya, bantuan ini memfokuskan kepada barangan keperluan kanak-kanak berusia 6 tahun ke bawah dan boleh dimohon oleh keluarga di Selangor dan di Kuala Lumpur.

” Kami akan usahakan secara berperingkat dan menyasarkan 1500 keluarga yang terjejas akibat pandemik sewaktu PKP dan PKPD ini. Justeru, saya juga berharap agar lebih ramai lagi pihak yang akan menyertai kami sebagai Rakan Kolaborasi Prihatin bagi program bantuan ini,” ujar Siti.

Siti mewakili Yayasan Nurjiwa dan keluarga CTDK Holdings menzahirkan ucapan terima kasih di atas kesudian syarikat Ikhlas.com, Mommyhana Creative Sdn.Bhd, Yayasan Rosni Noor dan L&K Multivision Sdn.Bhd. menjadi Rakan Kolaborasi Prihatin bagi program bantuan ini.

”Sejak pandemik melanda negara hingga ke hari ini, usaha pelbagai pihak menyalurkan bantuan tidak pernah terhenti dan saya terharu dengan sikap prihatin yang ditunjukkan oleh rakyat

“Hari ini kita terus kuat bersatu dan menjadi sebuah keluarga besar tanpa mengira agama, bangsa, kedudukan dan sebagainya,” ujar Siti.

Bagaimanakah cara memohon Bantuan Prihatin 2021 ini?

Program Bantuan Prihatin 2021 ini boleh dimohon dengan mengisi Google Form sahaja. Keluarga susah dan mempunyai anak berusia 6 tahun ke bawah layak memohon.

Klik pautan Google Form ini
https://forms.gle/g4WzEVHYsTt9pC548

Kemudian lengkapkan maklumat yang diperlukan.

Permohonan mendapatkan bantuan ini hanya perlu dibuat oleh salah seorang wakil suami atau isteri sahaja.

Orang ramai boleh menyertai usaha memberikan bantuan ini dengan menyumbang ke Tabung Bantuan Khas Palestin dan Covid-19 yang dilancarkan oleh Yayasan Nurjiwa dan CTDK bersama Kita Fund.

Untuk menyumbang, sila klik link ini https://kita.fund/YNJCTDKHoldings atau terus ke laman web Kita Fund. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas