Pergerakan antara negeri mulai 1 Mei

Pergerakan antara negeri mulai 1 Mei

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberikan tempoh tiga hari iaitu 1 hingga 3 Mei depan untuk orang ramai melakukan pergerakan antara negeri (inter-state) bagi tujuan yang dibenarkan semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, mereka yang layak boleh mengemukakan permohonan untuk membuat pergerakan antara negeri mulai esok (26 April) melalui aplikasi Gerak Malaysia.

“Bagi yang tidak mempunyai aplikasi Gerak Malaysia, mereka perlu membuat permohonan bertulis untuk mendapatkan kebenaran perjalanan di balai polis berdekatan, namun keutamaan perjalanan akan diberikan kepada pengguna aplikasi Gerak Malaysia.

“Bagi yang membuat permohonan menerusi aplikasi Gerak Malaysia pada 26 April, mereka perlu mengemas kini permohonan pada 29 April untuk mengesahkan destinasi perjalanan dan pada 1 Mei, mereka boleh membuat semakan status permohonan di aplikasi berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Huzir, tempoh pergerakan antara negeri yang dibenarkan adalah antara 1 hingga 3 Mei depan dan pengguna jalan raya dikehendaki merancang perjalanan mengikut syarat yang ditetapkan.

Jelas beliau, pengguna Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) diingatkan bahawa tiada sebarang kemudahan makanan disediakan di kawasan rehat dan rawat (R&R) manakala surau ditutup dan sebarang aktiviti solat berjemaah tidak dibenarkan termasuk di dalam mana-mana bangunan, kawasan lapang, tempat letak kereta dan lain-lain.

Tambah Huzir, kawasan meletak kenderaan pula hanya dibenarkan untuk tujuan rehat dan pengguna lebuh raya tidak dibenarkan keluar daripada kenderaan semasa dalam tempoh rehat kecuali untuk menggunakan tandas awam.

“Stesen minyak hanya akan beroperasi antara pukul 6 pagi sehingga 12 tengah malam di sepanjang lebuh raya dan dilarang melakukan sebarang aktiviti secara berkumpulan dalam tempoh perjalanan.

“Satu kenyataan media berhubung tatacara pendaftaran aplikasi Gerak Malaysia akan dikeluarkan pada hari ini dan diikuti dengan satu sidang media pada 29 April mengenai pergerakan mengikut negeri bagi memastikan perjalanan mereka lancar dan teratur,” katanya. – WILAYAHKU

CATEGORIES
TAGS