Berita

Khalid umum geran RM100,000 kepada PVATM WP

KHALID PVATM WP
KHALID (dua kanan) menerima watikah perlantikan sebagai penaung PVATM Negeri Wilayah Persekutuan selepas hadir merasmikan Persidangan Perwakilan Tahunan Persatuan Vateran ATM Negeri Wilayah Persekutuan kali ke 42 di Dewan Tanjung Wisma Transit di sini. - FOTO:NAZIRUL ROSELAN
- Diterbit 18 Ogos 2019 5:59 AM MYT

Oleh AZLAN ZAMBRY

KUALA LUMPUR- Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad hari ini mengumumkan pemberian geran tahunan sebanyak RM100,000 kepada Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia Negeri Wilayah Persekutuan (PVATM WP) untuk aktiviti persatuan tersebut.

Beliau berkata, geran tersebut adalah sebagai menghargai sumbangan PVATM WP di dalam pembangunan sosial dan menjaga kebajikan para veteran tentera dan keluarganya.

“Saya sedia maklum, untuk melakukan kerja-kerja amal ini memerlukan pengorbanan masa dan wang ringgit serta memerlukan dana yang mencukupi.

“Oleh itu, permohonan geran tahunan PVATM WP untuk tahun 2019 diluluskan,” katanya dalam ucapan perasmian persidangan perwakilan tahunan PVATM WP ke-42 di Wisma Transit di sini hari ini.

Jelas Khalid lagi, beliau akan terus memberi sumbangan kepada persatuan kerana ia satu NGO yang amat penting.

“Imej veteran ATM perlu dijaga kerana mereka kesinambungan daripada ATM juga,” ujarnya.

Sementara itu, Khalid menyifatkan PVATM yang ditubuhkan pada tahun 1922 merupakan sebuah persatuan tertua di negara ini dan sentiasa membantu kerajaan melaksanakan pelbagai dasar yang berkait rapat dengan kebajikan warganya.

“PVATM WP yang ditubuhkan sejak tahun 1976 sentiasa menyokong program-program yang dianjurkan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan (kwp dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Selaku Menteri Wilayah Persekutuan, saya mengharapakan kerjasama erat antara pihak PVATM dengan KWP terus terjalin. Saya akan sentiasa mendengar dan menerima pandangan demi menjaga kebajikan veteran-veteran tentera khususnya kepada ahli persatuan dan juga keluarga” katanya.

Dalam majlis itu juga Khalid turut menganugerahkan kepada 10 orang penerima Pingat Setia Sentiasa Berjuang kerana pembabitan mereka yang aktif di dalam PVATM WP.

Turut hadir dalam majlis itu adalah, Presiden PVATM, Kapten (B) Datuk Sharuddin Omar, dan Yang Dipertua PVATM WP Brigadier Jeneral (B) Datuk Shamsuddin Abas. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas