Berita

DBKL serah hak pengurusan dewan kepada MPP

KHALID MPPWPKL
KHALID menyampaikan watikah Penyerahan Pengurusan Dewan dan Peralatan Bantuan Kesiahatan kepada wakil MPPWPKL pada program Penyerahan Pengurusan Dewan dan Peralatan Bantuan Kesiahatan Inisiatif Wilayah Peduli di Dewan Serbaguna Bukit Cheras di sini. - FOTO:NAZIRUL ROSELAN
- Diterbit 18 Ogos 2019 6:05 AM MYT

Oleh AINI MAWAWI
[email protected]

KUALA LUMPUR – Dalam usaha memelihara kepentingan masyarakat dan warga Kuala Lumpur yang berteraskan konsep kesepakatan komuniti maka Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menyelaraskan semula status pengurusan Dewan Orang Ramai di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Dengan pengambilalihan dewan tersebut, DBKL akan membuat pemeriksaan struktur bangunan, melaksanakan kerja-kerja membaikpulih kerosakan dan seterusnya dewan tersebut diiktiraf mengikut keperluan perundangan, selamat dan selesa digunakan.

Menurut Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad, kesemua dewan-dewan yang diuruskan oleh pihak pengurusan sedia ada sebelum ini perlu diambil alih oleh DBKL untuk diurus selia dalam tempoh sementara dan seterusnya menyerahkan semula pengurusan kepada persatuan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berwibawa.

“Pengambilalihan ini hanya melibatkan dewan-dewan yang berada di atas tanah kerajaan serta DBKL sahaja dan dewan di atas tanah milik persendirian tidak diambil alih kerana ia di luar bidang kuasa DBKL, ” ujarnya.

Tambahnya lagi dalam masa yang sama, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan DBKL telah memperuntukkan RM 115,400 bagi menyediakan bantuan peralatan kesihatan khusus untuk golongan berpendapatan rendah (B40).

“Bantuan yang merupakan satu program kebajikan di bawah inisiatif Wilayah Peduli ini diselaraskan oleh Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (MPPWPKL),” katanya ketika sesi penyerahan pengurusan dewan kepada Majlis Pewakilan Penduduk di Dewan Serbaguna Bukit Cheras.

Antara alatan kesihatan yang terlibat adalah seperti alat pemeriksaan tekanan darah, peti alat kecemasan, kerusi roda dan sebagainya.

Terdahulu terdapat 330 unit dewan orang ramai dan kemudahan sukan telah dikenalpasti berada di sekitar Kuala Lumpur. Bangunan-bangunan tersebut diurus tadbir oleh pelbagai entiti termasuk DBKL. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas