Berita

Pelajar semakin berminat hadir ke sekolah

MAKANAN SIHAT YWP
GURU menyediakan makanan kepada pelajar yang menerima bantuan makanan khas.
- Diterbit 18 Ogos 2019 4:32 AM MYT

PROGRAM Bantuan Makanan yang dilaksanakan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) yang dilaksanakan sejak 2016 amat membantu pelajar-pelajar golongan berpendapatan rendah (B40) di sekitar ibu negara untuk lebih fokus dalam sesi pengajaran dan pembelajaran (PDP).

Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL), Maznah Abu Bakar berkata, program tersebut sangat memberi maafaat kepada pelajar miskin tegar kerana kebanyakannya tidak sempat makan di rumah disebabkan kekangan kewangan.

Ujar beliau, dengan penyediaan sarapan pagi seperti yang dilaksanakan YWP, pelajar bukan sahaja dapat fokus kepada PDP malah dapat membantu mengurangkan masalah keciciran di sekolah.

“Ini merupakan usaha murni kerana sebelum ini tidak ada bantuan untuk pelajar sekolah menengah. Oleh itu, kami di Kuala Lumpur amat bertuah kerana mendapat bantuan daripada YWP juga ahli-ahli Parlimen,” katanya.

Memfokuskan kepada Pejabat Pendidikan Wilayah Bangsar dan Pudu (PPWBP), jelas Maznah, terdapat 44 buah sekolah terlibat dan bantuan akan disalurkan kepada sembilan atau 10 orang pelajar bagi setiap sekolah.

Menurutnya lagi, daripada jumlah itu, kira-kira 400 penerima program makanan sihat YWP dan kos bagi setiap murid untuk satu hari adalah RM5.

“Menu makan akan ditetapkan oleh Jawatankuasa Kantin Sekolah dan mengikut piawaian makanan kesihatan,” ujarnya.

Tambah Maznah, sejak pelaksanaan program bantuan makanan itu, pihaknya mendapati terdapat perubahan dari aspek kehadiran iaitu pelajar sentiasa minat untuk hadir ke sekolah dan pencapaian akademik juga turut meningkat.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas