Berita

Khalid lancar Portal Wilayahku

KHALID PORTAL
KHALID (kanan) dan Saripuddin menunjukkan portal akhbar Wilayahku, sewaktu pelancaran Majlis Perasmian Buku 365 Hari Mengurus Transisi Memenuhi Harapan dan Pelancaran Portal Berita Wilayahku di sini sebentar tadi. -FOTO: NAZIRUL ROSELAN
- Diterbit 19 Ogos 2019 6:39 AM MYT

PUTRAJAYA – Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad hari ini melancarkan portal Wilayahku, wilayahku.mentera.my susulan akhbar berusia lapan bulan itu turut mendapat permintaan tinggi dari penduduk di luar Wilayah Persekutuan.

Ujar beliau, portal itu juga sejajar dengan perkembangan masa kini yang mana maklumat disebarkan dengan lebih cepat dan pantas kepada pembaca sekali gus memperluaskan lagi liputan pembaca ke seluruh negara malah boleh diakses warga dunia.

Jelasnya lagi, berbanding versi cetak yang hanya mempunyai 24 halaman, portal berita membolehkan lebih banyak ruang berita dapat disajikan seperti berita semasa, jenayah, ekonomi, aktiviti komuniti dan sukan di samping beberapa elemen baharu termasuk video serta mempunyai pautan kepada rangkaian media sosial.

Malah katanya, jumlah cetakan sebanyak 50,000 naskhah itu sebenarnya berjaya menghampiri akhbar harian sedia ada yang diedarkan di seluruh Wilayah Persekutuan.

Selain itu, Khalid turut menyatakan portal berita yang setanding dengan media arus perdana dan media baharu amat penting bagi sesebuah kementerian seperti Kementerian Wilayah Persekutuan berikutan masyarakat terdedah kepada penyebaran berita palsu atau separa benar yang ditular pihak tidak bertanggungjawab dalam media sosial.

“Pada 4 Januari lalu, saya melancarkan akhbar Wilayahku yang diurus terbit oleh Wilayah Media Sdn. Bhd., anak syarikat Yayasan Wilayah Persekutuan. Diam tidak diam sekarang sudah 32 edisi akhbar Wilayahku berjaya diterbitkan setiap minggu.

“Apa yang membanggakan, akhbar ini sudah berjaya mendapat tempat dalam kalangan masyarakat kota malah diterima baik penduduk di Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan semasa Majlis Perasmian Buku 365 Hari Mengurus Transisi Memenuhi Harapan dan Pelancaran Portal Berita Wilayahku di sini sebentar tadi.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Saripuddin Kasim.

Terdahulu pada majlis itu, Saripuddin melancarkan buku koleksi ucapan rasmi Khalid sepanjang setahun menerajui Kementerian Wilayah Persekutuan yang bertajuk 365 Hari Mengurus Transisi Memenuhi Harapan.

Buku setebal 117 halaman itu melibatkan pelbagai aktiviti yang telah dilaksanakan di peringkat kementerian dan agensi-agensi.

Malah fokus utamanya adalah 10 kejayaan utama yang berjaya dicapai Kementerian Wilayah Persekutuan khusus untuk pembangunan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan dalam tempoh setahun lalu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas