Utama

PPj sasar 400 premis terima penggredan A hujung tahun ini

OP PREMIS PPJ
AMINUDDIN meletakkan pelekat penggredan di salah sebuah premis yang mendapat penggredan A selepas Op Bersepadu Premis Makanan sekitar Putrajaya di sini hari ini.
- Diterbit 19 Ogos 2019 11:17 AM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]

PUTRAJAYA – Perbadanan Putrajaya (PPj) menyasarkan kesemua 400 premis di bawah seliaannya mendapat penggredan A menjelang hujung tahun ini.

Presidennya, Datuk Dr. Aminuddin Hassim berkata, sasaran tersebut ditetapkan berikutan Putrajaya akan menerima kunjungan ramai pihak pada tahun hadapan susulan perancangan pelaksanaan beberapa program besar di bandar rasmi itu.

“Tahun hadapan, kita ada dua program besar iaitu Tahun Melawat Malaysia 2020 dan kita menyambut Jubli Perak Putrajaya ke-25. Bagi minggu hadapan pula, kita akan menyambut hari besar seperti sambutan Kemerdekaan dan Floria Putrajaya.

“Ia sebagai satu usaha yang agak integrasi sikit. Kita nak melatih rakan-rakan peniaga untuk bersedia dengan kehadiran tetamu yang ramai pada tahun hadapan,”

katanya dalam sidang akhbar selepas Op Bersepadu Premis Makanan sekitar Putrajaya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Aminuddin memberitahu, langkah tersebut juga membantu meningkatkan imej Putrajaya sekali gus menjadikan bandar rasmi kerajaan itu sebagai salah satu lokasi tumpuan pelancong.

Terdahulu, dalam operasi pemeriksaan premis yang dilakukan selama kira-kira tiga jam di Nadi 15, Presint 15 di sini, enam buah premis diberikan gred A manakala lima buah lagi dikompaun dan dua diberikan notis amaran.

Sebagai rekod, sepanjang tempoh tujuh bulan pemeriksaan tahun ini, 120 premis telah diberikan penggredan A manakala 100 lagi menerima gred B. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas