Agama

Keyakinan tidak hilang dengan syak

GAMBAR hiasan
- Diterbit 4 Oktober 2019 8:33 AM MYT

Soalan: Assalamualaikum. Kalau seseorang solat Zohor, sampai rakaat kedua, timbul syak sama ada Zohor atau Asar yang dia niatkan. Kemudian datang pula yakin bahawa dia niat Zohor. Adakah sah solatnya?

Jawapan: ALHAMDULILLAH, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Saya mulakan dengan hadis daripada Umar bin al-Khattab R.A katanya, aku mendengar Nabi SAW bersabda, maksudnya: “Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat dan sesungguhnya setiap orang mengikut yang dia niat. Maka sesiapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya dan siapa yang hijrahnya kerana dunia untuk dia dapatinya atau perempuan untuk dikahwininya, maka hijrahnya mengikut apa yang dia hijrah kepadanya.” Riwayat al-Bukhari (1) dan Muslim (1907)

Ulama telah bersepakat mengatakan bahawa setiap amalan yang dilakukan oleh mukmin yang mukalaf tidak dikira daripada sudut syara’ dan tidak diberi pahala dengan hanya melakukannya kecuali disertai dengan niat. Hal ini juga sepakat oleh Ibn Hajar Al-Asqalani yang berkata: “Amalan menepati syara’.”

Niat adalah salah satu daripada rukun di dalam ibadat langsung seperti solat, haji dan puasa. Ibadat-ibadat tersebut tidak dikira sah kecuali apabila dilakukan dengan niat manakala ibadat yang tidak langsung yang hanya menjadi wasilah seperti wuduk dan mandi, maka ulama mazhab Hanafi berpendapat bahawa niat adalah syarat sempurna sahaja bagi menghasilkan pahala. Ulama mazhab Syafie dan lain-lain menyatakan bahawa niat juga merupakan syarat sah. Oleh itu, ibadat-ibadat tidak langsung tidak sah kecuali dengan niat.

Maksud niat di sini seperti kata Syeikh al-Sa’di adalah melakukan amalan dengan sengaja untuk mendekatkan diri kepada Allah, meraih redha dan pahala daripada-Nya. Kenyataan Baginda SAW “Sesungguhnya setiap amalan bergantung dengan niat” memberi maksud amalan yang berkenaan dengan ketaatan bukan amalan yang bersifat harus apatah lagi yang makruh dan haram.

Imam al-Ghazali berkata: “Niat yang lurus dan hati yang ikhlas semata-mata kerana Allah lebih tinggi martabat dan kedudukannya daripada pekerjaan yang semata-mata hanya berdasarkan pada niat untuk memperoleh keduniaan. Niat lurus dan hati ikhlas itulah yang membuat amal seseorang diterima oleh Allah SWT. Sedangkan niat buruk lambat laun nescaya akan menghilangkan rasa taat kepada Allah dan akhirnya akan mengubah menjadi kesukaan membuat maksiat. Daripada perbuatan maksiat, orang tidak akan memperoleh apapun selain kekecewaan dan kerugian. Justeru keikhlasan merupakan kemuncak dalam penerimaan amalan walau apa jua bidang yang diceburi kerana ia akan menentukan dan menjadi neraca sama ada diterima atau tidak di sisi Allah.” (Lihat al-Kafi Syarah Hadis 40, 8)

Menjawab persoalan di atas, keyakinan yang sudah wujud sebelum itu tidak mungkin dihapuskan dengan syak yang datang kemudian. Ini selaras dengan kaedah: Keyakinan tidak hilang dengan syak. Ibn Nujaim berkata: “Syak tidak mungkin mengangkat keyakinan yang sebelumnya.” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh Ibn Nujaim, hlm 56)

Justeru sembahyang yang datang kemudiannya syak adalah tidak dikira dan solatnya sah. Syeikh Daud al-Fatani dalam kitabnya menyebut: “Tidak memudarat terhadap solatnya apabila timbul syak di pertengahan solat dan datang pula yakin selepasnya. (Lihat Furu’ al-Masa’il tahqiq oleh Datuk Seri Abu Hasan Din al-Hafiz, hlm. 321)

Kami mengharapkan agar solat kita diterima Allah dengan menepati syariat dan juga mengikhlaskan hanya kepada Allah sebagaimana firman Allah SWT, maksudnya: “Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya,” (Surah al-Bayyinah: 5)

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas