Agama

Pilihan tentukan corak kehidupan

GAMBAR hiasan
- Diterbit 4 Oktober 2019 9:06 AM MYT

SEBENARNYA hidup ini merupakan pilihan dan kita menjalani kehidupan bersandarkan rangkaian pilihan yang telah dilakukan.

Kita yang memilih untuk gembira, derita, sengsara atau sedih bukan sahaja untuk hari ini tetapi esok, lusa, minggu depan, tahun depan atau pada masa depan.

Paling penting, penentuan syurga dan neraka yang bersifat abadi dan kekal selama-lamanya.

Sebagai contoh, seseorang yang memilih untuk menjadi seorang penyanyi jalanan akan memperolehi RM50 hingga RM100 setiap hari apabila membuat persembahan.

Tetapi kaedah yang sama, seorang penyanyi popular yang sama dengan melantunkan suara mungkin boleh memperolehi ribuan malah jutaan ringgit setiap kali persembahan.

Jelas, itu bersandarkan pilihan bersifat tekad yang dilakukan seseorang. Kehidupan yang kita lalui sekarang ialah bersandarkan pilihan kita pada masa lalu.

Seorang remaja yang mengambil kursus perubatan semasa di universiti pasti akan menjadi doktor pada masa depan. Apa yang berlaku, semasa di sekolah menengahnya dia belajar bersungguh-sungguh demi mencapai cita-citanya.

Jika remaja itu tidak serius belajar dan hanya melepak, ponteng sekolah dan terlibat dengan masalah sosial mustahil dia dapat menunaikan cita-cita menjadi seorang doktor.

Kunci untuk kehidupan yang terbaik ialah keseriusan, usaha semaksimum mungkin, kesungguhan, kepatuhan dan taat kepada Allah SWT selain pergantungan sepenuhnya kepada Allah iaitu sifat tawakal.

Realitinya, masa depan kita ialah bersandarkan pilihan kita pada masa lalu dan kini.

Kita menyelusuri kehidupan insan paling istimewa iaitu Rasulullah SAW yang pasti masuk syurga kerana pilihannya semasa hidup.

Baginda memilih untuk memperjuangkan dakwah Islam sehingga mempertaruhkan nyawa dan hartanya.

Selain itu, Rasulullah SAW memilih menghadapi risiko dakwah seperti dilempar batu, dicekik, pukulan, hinaan dan cubaan membunuhnya.

Tidak cukup itu, Baginda SAW memilih menghabiskan seluruh waktunya memikirkan umat Islam selain taat dan konsisten dengan sesungguhnya beribadah kepada Allah SWT walapun syurga merupakan jaminan kepadanya.

Rasulullah SAW insan yang paling banyak beristighfar, berzikir dan bersedekah di jalan Allah SWT.

Siapa sahabat yang paling setia, suami paling romantis dan pakar strategi perang terbaik jika bukan beliau SAW.

Ironi setiap keputusan Rasulullah SAW itu merupakan jambatan yang menghubungkan beliau ke syurga.

Sebenarnya seorang mukmin yang inginkan pembalasan yang baik pada Hari Akhirat kelak perlu membuat pilihan yang terbaik untuk pada masa depan sebelum ajal menemui kita.

Seorang mukmin perlu memilih yang terbaik sama ada melakukan perbuatan haram atau halal, dosa atau pahala, syurga atau neraka, reda Allah SWT atau manusia.

Jika setiap mukmin membuat pilihan yang tepat pasti akan membawa kesejahteraan kepada dirinya dan menjalar dalam kehidupan keluarga, komuniti, kaum, negara dan agama Islam.

Penulis merupakan Pegawai Perhubungan Awam Hospital Pakar KPJ Perlis

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas