Berita

Ketua Pengarah WHO dikuarantin selepas dikenal pasti kontak kes COVID-19

- Diterbit 2 November 2020 4:18 AM MYT

KETUA Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Adhanom Ghebreyesus pada Ahad berkata beliau telah dikenal pasti sebagai kontak rapat seseorang yang positif COVID-19 tetapi dalam keadaan sihat, lapor Agensi Anadolu.

“Saya telah dikenal pasti sebagai kenalan seseorang yang telah positif COVID19. Saya sihat dan tanpa gejala tetapi akan menjalani kuarantin kendiri untuk beberapa hari akan datang, sesuai dengan protokol @WHO, dan bekerja dari rumah,” ciapnya di Twitter.

“Sangat penting agar kita semua mematuhi panduan kesihatan. Ia adalah cara untuk kita memutuskan rantaian penularan COVID19, menewaskan virus, dan melindungi sistem kesihatan.

“Sahabat-sahabat saya @WHO dan saya akan terus berkomunikasi dengan rakan-rakan dan bersatu untuk menyelamatkan nyawa dan melindungi mereka yang terancam. Bersama-sama!,” tambahnya.

COVID-19 telah meragut lebih 1.19 juta nyawa di 189 negara dan wilayah sejak kali pertama ia dikesan di Wuhan, China, pada Disember tahun lalu.

Amerika Syarikat, India, dan Brazil kekal negara paling teruk terjejas.

Lebih 46 juta kes dilaporkan di seluruh dunia, dengan pemulihan melebihi 31 juta, menurut angka yang dikumpul oleh Johns Hopkins University yang berpangkalan di AS. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas