Berita

KPDNHEP terima aduan perihal dagangan palsu pada menu

KPDNHEP melakukan pemantaun dari semasa ke semasa. - Gambar hiasan KPDNHEP Labuan melakukan pemantauan dan hebahan mengenai SHMMP Krismas 2019 di Pasar Sentral Labuan di sini hari ini.
- Diterbit 2 November 2020 4:22 AM MYT

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah menerima aduan berhubung penyataan palsu pada menu peniaga atau restoran, yang diperihalkan sebagai minuman jenama seperti ‘Milo’ atau ‘Nescafe’, namun yang dihidangkan adalah jenama lain dengan kualiti berlainan.

Pengarah Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP Datuk Iskandar Halim Sulaiman dalam kenyataannya hari ini berkata, perlakuan tersebut jelas menunjukkan penggunaan perihal dagangan palsu pada barangan atau makanan yang ditawarkan oleh peniaga atau restoran.

Perihal dagangan palsu dan mengelirukan merupakan satu kesalahan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011, katanya yang mengingatkan penyataan pada menu sama ada di meja atau dinding restoran, adalah satu bentuk perihal dagangan yang dirujuk pengguna untuk mendapatkan maklumat sebelum memesan makanan dan minuman.

Menurutnya, anggota penguat kuasa KPDNHEP menjalankan pemeriksaan di bawah seksyen 5(1)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 iaitu mana-mana orang yang membekalkan atau menawarkan untuk membekalkan apa-apa barang yang baginya suatu perihal dagangan palsu, sejak 7 Okt lepas.

Sepanjang tempoh pemeriksaan tersebut sehingga 27 Okt, KPDNHEP telah menjalankan pemeriksaan ke atas 881 premis kedai makan dan restoran di seluruh negara dan dua kes di bawah seksyen 5(1)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 direkod kerana menggunakan perihal dagangan palsu iaitu penggunaan ‘Milo’, katanya.

“Pemeriksaan ini diteruskan bagi memastikan semua premis restoran atau kedai makan mematuhi arahan yang dikuatkuasakan dan seterusnya melahirkan peniaga yang beretika,” katanya.

Iskandar Halim mengingatkan premis restoran atau kedai makan mengenai pematuhan dan sekiranya didapati melakukan kesalahan di bawah seksyen 5(1)(b) Akta Perihal Dagangan 2011, dimana pemilik tersebut boleh didenda tidak melebihi RM250,000.

Orang ramai boleh menyalurkan maklumat kepada KPDNHEP dengan melaporkan aduan berkaitan perkara tersebut melalui portal eaduan.kpdnhep.gov.my atau di talian 1-800-886-800 atau Whatsapp ke 019-2794317.

Aduan boleh juga dibuat dengan talian 03-88826088 di Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) atau hadir sendiri ke mana-mana pejabat KPDNHEP yang berhampiran supaya tindakan sewajarnya boleh diambil. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas