Artikel

Ketika pemimpin menyelami derita rakyat

ANNUAR dan Timbalannya, Datuk seri Dr santhara menunjukkan buku inisiatif Wilayah Cakna 3.0 selepas mengumumkannya.
- Diterbit 28 Oktober 2020 8:28 AM MYT

JIKA sekalipun saya tidak menetap di Wilayah Persekutuan, tentu sekali saya ingin berasa bangga dengan inisiatif Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dalam mengurangkan keluh kesah rakyat.

Terbaharu, KWP telah mengeluarkan ‘duit poket’ kementerian sebanyak RM39.75 juta untuk manfaat penduduk Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Peruntukan terbanyak itu disalurkan melalui inisiatif tambahan Wilayah Cakna 3.0 yang diumumkan Menterinya, Tan Sri TPr Annuar Musa pada 15 Oktober lalu.

Bak orang mengantuk disorong bantal, begitulah juga rasa jiwa penduduk di sekitar Wilayah Persekutuan tatkala negara sedang berhadapan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hingga Disember depan, mereka menerima nikmat jutaan ringgit.

Ternyata ‘focus point’ KWP memang tepat pada sasarannya. Golongan B40 yang berada di bandar merupakan mereka yang jauh lebih terkesan dengan golongan sama tetapi berada di luar atau persisir bandar. Dengan buah tangan itulah mungkin mampu mengurangkan dahaga dan mengenyangkan perut mereka buat seketika.

Apabila KWP yang dipimpin pemimpin yang prihatin dan tahu akan perut dan anak tekak orang yang susah memberi pertolongan, sudah tentu ia suatu perkara besar yang perlu disyukuri.

Contohnya, sejumlah RM14.4 juta diperuntukkan untuk komuniti yang menginap di Projek Perumahan Rakyat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (PPR MTEN) dan Perumahan Awam (PA) DBKL.

Mereka yang terlibat akan dikecualikan bayaran sewa rumah bulanan untuk tempoh tiga bulan, iaitu Oktober, November dan Disember 2020. Bayangkan, seramai 40,000 penyewa dan seisi rumahnya akan mendapat manfaat ini selama tiga bulan walaupun moratorium telah berakhir.

“Peruntukan terbanyak itu disalurkan melalui inisiatif tambahan Wilayah Cakna 3.0 yang diumumkan Menterinya, Tan Sri TPr Annuar Musa pada 15 Oktober lalu.

Demi rakyat yang sedang susah juga, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sanggup ‘hilang’ pendapatan sebanyak RM2.5 juta kerana KWP memberi pengecualian cukai kepada 5,830 penjaja dan peniaga kecil berlesen di Kuala Lumpur.

Mereka dikecualikan caj sewaan premis niaga milik DBKL. Bukan terhenti di situ sahaja, mereka juga turut diberi pengecualian bayaran bagi pembaharuan lesen perniagaan bulan November 2020 yang melibatkan 1,339 akaun dengan kos sebanyak RM330,000.

Suatu angka yang amat besar! Bagi mereka di Putrajaya juga turut akan terima manfaat yang hampir sama. Pengecualian caj sewaan premis milik Perbadanan Putrajaya (PPj) juga diberikan dan ia memberi manfaat kepada 302 penjaja serta peniaga kecil di situ yang bermula Oktober hingga Disember 2020 dengan pengecualian hasil kepada PPj berjumlah RM1.87 juta.

Bantuan ‘Food Pack’ melalui baucar makanan kepada asnaf dan golongan miskin bernilai RM100 untuk setiap isi rumah juga akan disediakan oleh PPj. Belum cukup RM39 juta lagi, masih banyak inisiatif dan pertolongan yang KWP beri kepada penduduk di tiga Wilayah Persekutuan.

Ini termasuklah baucar bantuan buku latihan sekolah bernilai RM100 daripada Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) yang boleh digunakan di koperasi sekolah masing­-masing kepada keluarga berpendapatan rendah di Kuala Lumpur.

Manakala di Putrajaya, seramai 1,000 orang pelajar miskin turut menerima baucar Kembali ke Sekolah bernilai RM100 daripada PPj sebagai persediaan untuk perbelanjaan barangan persekolahan tahun hadapan.

Bagi wakil penduduk pula, sumbangan sebanyak RM3,000 secara ‘one-off’ diberikan kepada 11 Majlis Perwakilan Penduduk (MPPWP) Kuala Lumpur dan enam sub zon MPPWP Putrajaya, manakala RM2,000 secara ‘one-off’ kepada 570 persatuan­ persatuan penduduk di kedua­ dua wilayah itu. Sebenarnya banyak lagi yang KWP beri kepada rakyat.

Termasuklah melalui Jabatan Agama islam Wilayah Persekutuan (JAWi). RM1.4 juta diperuntukkan untuk golongan asnaf, berpendapatan rendah, bantuan kepada masjid dan surau Jumaat di WP Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan; Program Dapur it’am; Program Bantuan Dakwah dan Program Bantuan Baitul Rizq Masjid Wilayah.

Penulis merupakan Setiausaha Agung Pertubuhan Aktivis Belia Tanah Air (ABATA), SARFARIZMAL SAAD
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas