Utama

Ketika mana Kuala Lumpur diselubungi peperangan

ANGGOTA tentera melakukan rondaan di kawasan PKPD di kawasan sekitar Pasar Borong Selayang, Kuala Lumpur. ANGGOTA tentera mengawal keadaan di kawasan PKPD.
- Diterbit 4 Mei 2020 3:49 AM MYT

 

PADA masa ini Kuala Lumpur berada dalam keadaan perang melawan virus Covid-19. Ibu kota sunyi dengan polis dan tentera mengawal. Terdapat juga kawat berduri di sekitar kawasan Jalan Masjid India dan Pasar Borong Selayang. Ia tetap merupakan  suatu peperangan melawan musuh yang berbentuk halimunan.

Baru-baru ini terdapat satu upacara nasional bagi Australia dan New Zealand yang dipanggil sebagai Anzac Day. Anzac merujuk pada Kor Tentera Australia dan New Zealand. (Australia New Zealand Army Corp).

Peringatan yang diadakan pada setiap 25 April itu menghormati Perang Galipoli di Turki pada tahun 1915 iaitu semasa Perang Dunia Pertama. Tentera-tentera Australia dan New Zealand turut serta dalam peperangan itu bersama pihak Berikat (Allies) juga dipanggil Entente Powers.

Banyak tentera Australia dan New Zealand terkorban. Tetapi ekoran itu, peristiwa Perang Galipoli itu membentuk kesadaran identiti nasional Australia dan New Zealand. Kedua negara itu adalah sebahagian daripada Empayar British dan identiti mereka adalah dengan Britain. Perang Galipoli itu merintis pada kesedaran untuk menjadi negara berdaulat yang berasingan daripada United Kingdom.

Setiap tahun acara peringatan itu diadakan di depan tugu peringatan bagi Perang Dunia Pertama di Australia dan New Zealand. Cumanya pada tahun ini, ia dilakukan secara kecil dan tidak melibatkan orang ramai kerana perintah kurungan Covid-19.

Tetapi apakah kaitannya dengan Kuala Lumpur dan Malaysia?  Pada 25 April lalu tertular gambar lama di kalangan peminat-peminat sejarah yang menunjukkan suatu perhimpunan tentera Australia di Kuala Lumpur memperingati Anzac Day pada tahun 1941 iaitu pada detik-detik sebelum Perang Dunia Kedua sampai di Malaya.

Terdapat beberapa gambar yang menunjukkan perbarisan dilakukan di Padang dan di depan tugu peringatan The Cenotaph yang teletak di Victory Square (Medan Kemenangan). Padang itu kemudian dikenali sebagai Padang Selangor Club dan kini bernama Dataran Merdeka.

Victory Square kini sudah menjadi Bulatan Sultan Hishamuddin apabila sebuah jejambat didirikan di atasnya, sekaligus menutup medan itu. Jejambat pertama Malaysia itu bernama Jalan Kinabalu. Ia bersambung dengan Jalan Kuching. Kedua-duanya dinamakan demikian bersempena dengan ibu negeri Sabah dan Sarawak, iaitu sebagai tanda penghargaan mereka menyertai Malaysia dan menerima Kuala Lumpur sebagai ibu kota bersama.

 Bulatan itu bersambung dengan Jalan Sultan Hishamuddin yang diapit oleh Setesen Keretapi Kuala Lumpur dan Bangunan KTM, dahulunya Malayan Railway Headquarters. Jalan itu asalnya bernama Victory Avenue untuk mengambil sempena kemenangan Berikat dalam Perang Besar, atau Great War, nama asal Perang Dunia Pertama.

The Cenotaph yang didirikan untuk mengenang tentera yang terkorban dalam perang itu kemudiannya telah dipindahkan ke Tugu Negara, dan segala upacara memperingati Perang Dunia Pertama dilakukan di sana.

Gambar-gambar itu disiarkan dalam majalah Amerika Syarikat, Life pada tahun 1941. Apa yang boleh diagakkan ialah upacara perbarisan itu berbentuk pemeriksaan perbarisan dan ucapan yang disaksikan oleh orang ramai di bangungan Selangor Secretariat, kini dikenali sebagai Bangunan Sultan Abdul Samad. Pasukan tentera yang berpakaian seragam berwarna khaki itu dipercayai berkawad melalui Jalan Raja untuk berhimpun di depan The Cenotaph. Di situ kalungan bunga diletakkan pada tugu itu dengan tiupan bugle.

Masa ini tiada sesiapa di Malaya menyangka bahawa Kuala Lumpur akan jatuh ke tangan Jepun. Sedangkan sudah terdapat banyak kedai memperbaiki basikal milik orang Jepun di merata tempat yang bertugas sebagai pengintip dan perisik.

 

Pada zaman itu, tentera Australia adalah sebahagian daripada angkatan tentera British yang ditempatkan di Malaya. Selain daripada Australia, negara lain yang turut berkhidmat untuk British ialah India dan Nepal, yang dikenali sebagai Askar Gurkha. Tentera tempatan ialah Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).
Perang Dunia Pertama 

Malaya tidak terlibat dengan Perang Dunia Pertama. Hanya terdapat satu pertempuran di luar pantai Pulau Pinang antara tentera laut Jerman dan Britain. Sebagai sebahagian daripada Empayar British, Malaya tentunya berada di pihak Berikat seperti mana Australia, New Zealand dan India. Negara-negara lain dalam Berikat ialah Perancis, Amerika Syarikat, Rusia dan Jepun. Sementara musuh uatma mereka ialah Jerman dengan sekutu-sekutunya yang dipanggil Central Powers terdiri daripada Empayar Austria-Hungary, Bulgaria dan Kekhalifahan Usmaniah, yang dikenali juga sebagai Ottoman.

Perang Dunia Pertama menghancurkan Jerman dan sekutu-sekutunya termasuk Ottoman. Wilayah-wilayah Uthmaniah diambil-alih oleh Britain dan Perancis. Britain ambil-alih Mesir, Palestin dan Iraq. Perancis mengambil-alih Syria dan Libya. Mereka berazam untuk membahagi-bahagikan Turki. Ia hendak dibahagi-bahagikan antara Britain, Greece dan Rusia. Untuk itu pihak Berikat pimpinan Britain mendarat di bahagian selatan Turki bernama Galipoli untuk menakluk Istanbul, ibu kota Kekhalifahan Uthmaniah. Jika Istanbul dapat ditakluki, ia akan kembali menjadi Constantinople dan diserahkan pada Greece.

Panglima tentera Ottoman pada masa itu ialah Mustafa Kemal. Di sinilah tentera-tentera Australia dan New Zealand didaratkan untuk mengalahkan pasukan Mustafa. Perang amat sengit dan banyak yang terkorban di kedua-dua belah pihak. Akhirnya pihak Berikat gagal menawan Istanbul. Tentera Australia dan New Zealand yang selamat pulang.

Kejayaan Mustafa itu bukan saja menyelamatkan Istanbul tetapi juga Turki. Greece, Britain dan Rusia gagal memecahkan Turki. Mustafa kemudian dikenali sebagai Attaturk iaitu Bapa Turki. Beliau kemudian menghapuskan institusi khalifah dan menubuhkan Republik Turki.

Kejayaan Mustafa mempertahankan Istanbul disambut baik oleh orang Islam di seluruh dunia. Kebanyakan orang Islam yang berada di bawah Empayar British seperti di India dan Malaya menyokong Turki. Selepas Perang Galipoli itu, Mustafa dianggap sebagai wira umat Islam dan gambar beliau digantung di banyak rumah-rumah orang Melayu di Malaya.

Jepun langgar Kuala Lumpur 

Dalam Perang Dunia Kedua, sekutu-sekutu berubah. Turki menyebelahi Berikat dan Jepun bersama Jerman dalam Paksi (Axis). Tetapi ketika tentera Australia berkawad sempena Anzac Day pada 15 April 1941, tiada siapa di Malaya dan Britain yang menjangka bahawa Malaya dan Kuala Lumpur akan jatuh pada tangan tentera Jepun.

Pihak ketenteraan British di Kuala Lumpur, Singapura dan London tidak beranggapan bahawa Jepun mempunyai kekuatan untuk menakluk Malaya. Singapura dianggap sebagai kubu kuat dengan meriam-meriamnya menghala ke laut dan yakin akan mematahkan sebarang serangan Jepun.

Tetapi pada masa itu di luar laut Singapura, apa yang kelihatan adalah kapal nelayan Jepun adalah sebenarnya kapal perisik yang mengumpul maklumat mengenai kekuatan tentera British. D seluruh Malaya termasuk Kuala Lumpur, terdapat kedai-kedai membaiki basikal Jepun yang merupakan pengintip tentera.

Tetapi tentera Jepun mendarat di Songkhla dan Kota Bharu. Mereka kemudian berbasikal, dengan bantuan kedai-kedai basikal Jepun bergerak maju ke Kuala Lumpur dan Singapura.

Pada 7 Januari 1942, pihak British meninggalkan Selangor dan Negeri Sembilan untuk berundur ke Johor dan Singapura. Kekacauan berlaku di Kuala Lumpur dengan kedai-kedai mewah Robinsons, Whiteaway dan  Laidlaw di Java Street (kini Jalan Tun Perak) dipecah curi. Pawagam Cathay dan Odeon di Batu Road (kini Jalan Tuanku Abdul Rahman) ditutup. Akhbar utama Kuala Lumpur, The Malay Mail menerbitkan naskhah akhirnya. Kerajaan tidak lagi berfungsi.

Pada tahun 10 Januari, Jepun sampai Serendah, 26 km dari Kuala Lumpur. Keesokannya tentera Jepun memasuki kota tanpa perlawanan besar.  Mereka segera mengambil alih bangunan Selangor Secretariat, stesen keretapi dan penjara Pudu.

Peperangan itu jauh lebih dahsyat daripada wabak Covid-19. Sekurang-kurangnya setakat ini.

  • Zin Mahmud merupakan wartawan veteran yang telah berkhidmat lebih tiga dekad dalam industri persuratkhabaran, buku dan majalah. Pernah menjadi Pengarang Mingguan Malaysia, wakil Utusan Melayu di Kaherah; Pengarang Kumpulan Harakah dan Pengarang Berita Harian Watan. 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas