Ketidakpatuhan, kelemahan pengurusan punca dividen LTAT menurun

Oleh NAZWIN NAZRI
winwilayahku@gmail.com

PUTRAJAYA – Pemberian dividen rendah yang diumumkan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) semalam adalah disebabkan ketidakpatuhan serta kelemahan pengurusan akibat daripada kepimpinan yang tidak telus sebelum ini.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, bagi mengisytiharkan dividen yang lebih tinggi, LTAT memerlukan pulangan yang baik hasil daripada pelaburannya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa Lembaga berkenaan telah menjalankan tanggungjawabnya seiring menjana pulangan yang mampan untuk ahli-ahlinya.

“Untuk makluman, pengurusan LTAT mewarisi organisasi yang sarat dengan pelbagai ketidakpatuhan serta kelemahan pengurusan akibat daripada kepimpinan yang tidak telus.

“Pelaburan tidak munasabah yang dijalankan oleh kepimpinan terdahulu telah menyebabkan kurangnya pulangan untuk tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertikaian orang ramai berhubung kadar rendah dividen LTAT berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Mengulas lanjut Mohamad memberitahu, sebagai contoh, LTAT telah menerima Pendapat Berteguran daripada Jabatan Audit Negara bagi Tahun Kewangan 2017. yang mana jumlah keuntungan bersih pada 2017 telah diselaraskan kerana mengambil kira hasil daripada jualan tanah yang belum dimuktamadkan.

Jelas beliau, untuk rekod, pendapatan bersih pada tahun itu telah menurun sebanyak lebih 30 peratus iaitu daripada RM686.8 juta kepada RM459.5 juta.

Katanya, bagi Tahun Kewangan 2016 pula, pendapatan bersih juga direkodkan menurun sebanyak 48 peratus iaitu daripada RM685.5 juta kepada RM356.2 juta setelah mengambil kira penyelarasan daripada penjualan tanah yang tidak dimuktamadkan, namun hasil daripada jualan itu telah diambil kira sebagai pendapatan LTAT.

“LTAT perlu menjaga kebajikan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk jangka masa panjang. Saya menyeru supaya Lembaga terus berpegang kepada mandat ini kerana tiada gunanya untuk mengisytiharkan dividen yang tinggi jika ia memberi kesan negatif terhadap kewangan mereka untuk jangka masa panjang. Kesannya boleh dilihat dari tahun-tahun sebelumnya.

“Tumpuan kerajaan Pakatan Harapan dan pentadbiran baharu LTAT adalah bagi menjaga kebajikan anggota ATM. Kerajaan tidak gusar untuk mengisytiharkan pulangan yang rendah kerana ia seiring dengan kemampuan Lembaga ketika ini,” tegasnya.

Tambah Mohamad, ia juga penting bagi melindungi simpanan ahli supaya tidak tergadai seperti semasa pentadbiran sebelum ini. – WILAYAHKU

Kongsikan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Penafian: Semua Komen di bawah tidak mencerminkan pendirian atau pandangan Wilayahku, ia merupakan pandangan peribadi penulis.