Berita

200 pelajar KPBKL terima bantuan makanan

YAPIEM-FOODBANK
PENERIMA sumbangan Foodbank 1.0 bergambar pada Majlis Penyerahan Sumbangan FoodBank YaPEIM 1.0 di IPBKL di sini.
- Diterbit 30 September 2019 11:49 PM MYT

KUALA LUMPUR 30 Sept. – Seramai 200 pelajar Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur (KPBKL) menerima bantuan pek makanan yang diagih melalui program FoodBank YaPEIM 1.0 semalam.

Rektor KPBKL, Prof. Datuk Dr. Noor Inayah Ya’akub berkata, pelajar yang menerima bantuan berkenaan terdiri daripada golongan asnaf dan kelompok B40 sejajar dengan pendekatan ‘Ummatik Taqwa’ iaitu bagi mencorak ekosistem pembangunan modal insan negara kekal kondusif.

“Secara keseluruhan seramai 1,600 pelajar bakal menerima sumbangan pek makanan sedia untuk dimakan (RTE) yang diagihkan melalui FoodBank YaPEIM 1.0. Program akan dilaksana selama empat bulan bermula September lalu.

“Untuk agihan yang pertama, seramai 200 pelajar layak menerima sumbangan RTE. Diharapkan segala bantuan yang disalurkan sedikit sebanyak membantu usaha meringankan beban golongan sasar yang memerlukan,” katanya semasa majlis penyerahan sumbangan FoodBank YaPEIM 1.0 bertempat di Dewan Kuliah 1, IPBKL di sini.

Sementara itu bagi Pengarah Kanan, Pengurusan Dana Infaq Pembangunan Sosioekonomi YaPEIM, Mohamad Zamri Zakaria menjelaskan, RM4 juta diperuntukan melalui program FoodBank YaPEIM 1.0 yang menyasarkan akan memanfaatkan seramai 110,600 penerima di seluruh negara.

“Agihan bantuan FoodBank ini meliputi golongan pelajar asnaf, selain kelompok B40 dan mangsa bencana alam. Sejumlah RM8,000 diperuntukan bagi mengagihkan 1,600 pek makanan kepada pelajar di IPBKL ini,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas