Berita

262 CCTV pantau keselamatan berpusat di Putrajaya

KHALID (dua dari kiri) ketika melawat Pusat Command Centre Putrajaya selepas hadir merasmikan Digital Putrajaya Exhibition & Conference (Dipec) di Putrajaya hari ini. -NAZIRUL ROSELAN
- Diterbit 3 Oktober 2019 9:28 AM MYT

Oleh AZLAN ZAMBRY

PUTRAJAYA – Penubuhan Putrajaya Command Centre (PCC) yang dilengkapi dengan teknologi terkini diyakini dapat meningkatkan pemantauan keselamatan, aktiviti perbandaran, aliran trafik, kualiti alam sekitar, infrastruktur dan bencana alam di bandar ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad berkata, PCC yang beroperasi 24 jam setiap hari, tujuh hari seminggu itu memainkan peranan yang sangat penting dalam memastikan keselamatan penduduk dan pengunjung ke Putrajaya.

“Inisiatif di bawah Pelan Tindakan (Blue Print) Putrajaya Bandar Pintar itu digunakan bersama pelbagai pihak berkuasa dan agensi termasuk Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya, Bomba Putrajaya, Angkatan Pertahanan Awam, Hospital Putrajaya, Majlis Keselamatan Negara dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.

“Kesemua pemantauan CCTV (televisyen litar tertutup) dirakam pada setiap masa dan menggunakan CCTV pintar dengan kualiti video berdefinisi tinggi yang mampu membuat pengecaman dari jarak sehingga empat kilometer dan butang panik yang boleh berkomunikasi dengan CCTV sekiranya berlaku kecemasan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan PCC dan Pelan Tindakan Putrajaya Bandar Pintar bersempena Digital Putrajaya Exhibition & Conference (DiPEC) 2019 di sini hari ini.

Turut hadir Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Dr. Aminuddin Hassim dan Naib Presiden Kanan PPj, Datuk Omairi Hashim. Khalid berkata, setakat ini terdapat 262 CCTV dan 39 butang panik yang disambung kepada PCC untuk tujuan pemantauan keselamatan dan membantu orang ramai yang mengalami kecemasan.

Katanya, PPj merancang untuk menambah 200 CCTV dan 50 butang panik lagi menjelang tahun 2020.

Tambah beliau, dengan penggunaan teknologi Analitik Video Pintar (IVA), sistem itu akan membantu petugas untuk memberi makluman awal secara automatik sekiranya berlaku insiden-insiden yang mencurigakan.

“Antara kemampuan sistem IVA ialah mengesan tingkah laku manusia yang bergerak seperti ingin melakukan jenayah, mengesan pencerobohan ke kawasan larangan atau kawasan sensitif, mengesan perhimpunan di tempat-tempat awam, mengesan objek atau barang yang dialih dan mengesan objek yang ditinggalkan.

“Sistem tersebut dapat membantu proses mengesan insiden-insiden melibatkan keselamatan jalan raya seperti memandu melawan arah, berhenti di tempat tidak sepatutnya atau mengesan kemalangan jalan raya,” katanya.

Kata beliau, melalui sistem IVA juga, petugas dari bahagian trafik dapat membuat kiraan kenderaan mengikut kategori dengan lebih mudah.

Menurut Khalid, PCC turut dilengkapi teknologi sensor Objek Rangkaian Internet (IoT) untuk mengesan pencemaran dan kualiti alam sekitar dan Papan Buletin Elektronik Berpusat untuk menghantar mesej keselamatan kepada orang awam.

“Teknologi sensor IoT telah dipasang di sekitar Putrajaya untuk mengesan pencemaran air tasik, kadar hujan, suhu, hadlaju angin, ketinggian paras air dan kerosakan pada kemudahan,” katanya.

Tambah Khalid, Blueprint Pelan Tindakan Putrajaya Bandar Pintar mengandungi tujuh teras iaitu pengangkutan dan mobiliti pintar; urus tadbir kerajaan yang cekap dan pintar; insfrastruktur dan utiliti pintar dengan pengunaan IoT; sistem keselamatan perbandaran pintar dan selamat. Selain itu katanya, pelan itu juga berteraskan ekonomi dinamik dan berdaya maju; komuniti pintar dan persekitaran pintar. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas