Berita

Covid-19: 11 pusat kuarantin diwartakan di Wilayah Persekutuan

Badan pengurusan PPR, PA serta penempatan yang berkepadatan tinggi diseru memainkan peranan dalam memastikan Perintah Kawalan Pergerakan dipatuhi
ANNUAR
- Diterbit 22 Mac 2020 7:50 AM MYT

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) mewartakan 11 pusat kuarantin di seluruh Wilayah Persekutuan termasuk Labuan yang boleh digunakan bermula esok bagi membolehkan rawatan terhadap pesakit wabak Covid-19 dilakukan dengan lebih rapi.

Pengerusi Jawatan Kuasa Kerja Keselamatan Negeri Wilayah Persekutuan (JKKKN WP), Tan Sri Annuar Musa berkata, sehubungan itu, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan KKM akan mengaturkan perpindahan sebahagian daripada individu yang dikuarantin di Masjid Seri Petaling di sini yang merupakan pusat berlakunya perhimpunan baru-baru ini.

“Beberapa langkah yang lebih ketat akan dilakukan di kawasan yang dianggap sebagai zon merah. Ada empat kawasan iaitu Lembah Pantai, Kepong, Cheras dan Titiwangsa.

“Kawasan-kawasan ini akan diberi pemantauan rapi terutama di tempat sekitar kejadian-kejadian yang telah direkodkan,” katanya dalam sidang akhbar khas JKKKN WP hari ini.

Dalam pada itu, Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan menyeru badan pengurusan di projek perumahan rakyat (PPR) dan perumahan awam (PA) serta penempatan yang berkepadatan tinggi memainkan peranan dalam memastikan Perintah Kawalan Pergerakan dipatuhi.

Jelas beliau, pihak terbabit dapat membuat seruan supaya penghuni terlibat dapat mengurangkan pergerakan di luar rumah dan tidak berkeliaran selain memberi perhatian lebih dalam aspek kebersihan khususnya di dalam lif

“Buat pemeriksaan suhu badan bagi mereka yang berada di kawasan berkepadatan penduduk yang tinggi. Lakukan proses nyahkuman di lif secara sukarela,” tegasnya.

Mengulas lanjut, Annuar meminta proses nyahkuman yang dilakukan di masjid dan surau dilakukan dengan mengikuti garis panduan yang ditetapkan KKM. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas