Artikel

Kesedaran sivik warga KL

TAHAP kesedaran sivik yang cetek/rendah dalam kalangan warga KL menyukarkan ia dibawa keluar daripada belenggu kemunduran. - Gambar sebelum pandemik.
- Diterbit 14 Januari 2022 4:25 AM MYT

WALAUPUN menara tertinggi di dunia pernah berada di Kuala Lumpur, tetapi kesedaran sivik sebahagian dalam kalangan rakyat khususnya warga kota ini masih rendah. Kebersihan, kepedulian alam sekitar dan menjaga harta awam masih menjadi isu tertunggak. Belum dilangsaikan sejak lama dulu.

Pengalaman sebagai warga kota selama hampir empat dekad menyakinkan saya untuk menyimpulkan bahawa kesedaran sivik daripada generasi kepada generasi tidak berubah. Tahapnya masih rendah malah hampir sama dengan empat dekad lalu ketika saya mula-mula menjejak kaki ke kota ini.

Walaupun prasarana Kuala Lumpur memperlihatkan peningkatan yang begitu drastik, tetapi tahap kesedaran sivik warganya masih rendah. Ia tidak ikut berkembang setanding dengan pembangunan fizikal yang sangat pesat.

Dengan meningkatnya status sosial dan ekonomi, kesedaran sivik juga sepatutnya sudah jauh berubah. Bagaimanapun perkara itu tidak berlaku dan yang kelihatan di sebalik kemodenan Kuala Lumpur ada kemunduran daripada segi sikap sesetengah warganya.

Saya berani berkata, sekiranya semua tukang sapu dan pengangkut sampah melancarkan mogok selama seminggu, Kuala Lumpur akan penuh dengan sampah. Tidak semua warga kota boleh menguruskan diri untuk membuang sampah di tempatnya.

Menjaga kebersihan dan harta awam adalah sebahagian daripada prasyarat budaya nilai tinggi yang menjadi pemacu sebenar negara maju. Kalau masih ada sesetengah dalam kalangan warga yang tidak endah dengan kebersihan dan harta awam, Kuala Lumpur masih belum maju, walaupun bangunannya tertinggi di dunia.

Kalau dibandingkan dengan beberapa bandar raya lain di dunia, kemajuan sebenar bukanlah pada aspek fizikal atau ekonomi semata-mata, tetapi dari sudut budaya nilai tinggi. Menjaga kebersihan dan harta awam menjadi suatu yang penting untuk maju dan kelihatan maju.

Tetapi sikap warga Kuala Lumpur membuatkan kemajuan dalam erti kata sebenar tidak dapat dicapai. Masih agak jauh untuk mencapai tahap bandar raya maju seperti banyak kota lain di dunia.

Tahap kesedaran sivik menjadi halangan dan ini dibuktikan dengan pengabaian kebersihan, tidak amanah menjaga harta awam dan rendah kepedulian terhadap alam sekitar.

Kebersihan menjadi masalah utama Kuala Lumpur. Sejak dulu hingga sekarang masih terdapat warga yang tidak mengadaptasi kehidupan selari dengan kedudukan Kuala Lumpur. Banyak yang masih terbawa-bawa sikap dan pemikiran di kawasan setinggan yang tidak endah akan kebersihan.

Buktinya setiap kali sambutan tahun baharu dan malam ulang tahun kemerdekaan, banyak kawasan tumpuan utama di pusat bandar dibanjiri sampah sarap. Dataran Merdeka yang menghijau dan bersih pada petangnya bertukar menjadi banjir sampah selepas tengah malam.

Padang yang luas itu penuh dengan sampah sarap pembalut burger, gelas kertas dan bekas minuman dalam tin. Ini adalah pemandangan biasa selepas acara menyambut tahun baharu atau ulang tahun kemerdekaan. Sungguh ironi, tahun baharu yang kekal dengan sikap lama.

Bukan sahaja Dataran Merdeka malah di jalan-jalan sekitar Bukit Bintang yang menjadi tumpuan warga kota. Di situ tin-tin bir berselerak di kaki lima selain kertas pembalut burger. Semua pemandangan bukanlah suatu yang luar biasa selepas sambutan tertentu.

Kesedaran sivik menjadi asas penting sesebuah negara maju. Tanpa kesedaran sivik, prasarana berkelas dunia sekali pun tidak dapat dinikmati dengan sepenuhnya. Kebersihan pula tidak diambil endah sebagai tanggungjawab semua, bukan pihak berkuasa semata-mata.

Di banyak negara yang belum membangun, selain tidak amanah, rakyatnya tidak ada kesedaran sivik. Inilah yang menjadi penghalang untuk membawa masyarakat keluar daripada belenggu kemunduran. Menjaga kebersihan dan pemeliharaan alam sekitar bukan sahaja tugas kerajaan, tetapi semua dalam kalangan rakyat.

Budaya nilai tinggi mendorong setiap ahli masyarakat melaksanakan tanggungjawab masing-masing terhadap negara. Bagaimanapun kita berdepan dengan sikap mementingkan diri dalam soal menjaga kebersihan terutama di tempat awam. Malah nipisnya rasa memiliki terhadap harta awam.

Inilah masalah sebenar sesetengah dalam kalangan kita. Diberikan prasarana bertaraf dunia tetapi penggunanya masih mempunyai mentaliti dunia ketiga. Alam yang cantik dan mempesona itu tidak boleh dihayati dan dilestari. Perosak harta awam adalah mereka dalam kalangan yang mundur.

Sungai di Kuala Lumpur juga berdepan masalah yang sama disalah guna sebagai tong sampah terutama oleh warga yang tinggal berdekatan laluan utama air itu. Belum lagi sikap tidak bertanggungjawab sesetengah pemaju yang mengakibatkan dasar sungai menjadi semakin cetek.

Sebelum diadakan projek River of Life, Sungai Gombak dan Sungai Kelang di tengah Kuala Lumpur kerap mengapungkan sampah sarap apabila hujan lebat di hulu. Kedua-dua sungai ini adalah ikon Kuala Lumpur. Bagaimanapun menjadi sungai sampah kerana sikap sesetengah warganya.

Alam dan manusia sebenarnya bertimbal balik antara satu dengan lain. Manusia menyedut keindahan alam dan memulangkan kecantikan pekerti pada alam. Kalau hanya pandai menyedut keindahan, tetapi tidak berpekerti, hubungan menjadi tempang dan sumbang.

Dalam konteks yang luas, semua dalam kalangan kita wajar bertanya bertambah baikkah kualiti udara dan air? Apakah sumbangan kita dalam memulihara alam sekitar? Cukup dan memadaikah aspek perundangan dalam melindungi alam sekitar?

Tetapi ternyata perundangan sahaja belum cukup kalau tidak disertai dengan perubahan sikap. Kerosakan alam sekitar dapat dilihat pada kualiti air di dua sungai yang membelah Kuala Lumpur itu. Selain tidak membuang sampah pada tempat yang disediakan, kerosakan alam sekitar adalah masalah yang serius.

Alam sekitar telah diangkat menjadi salah satu daripada tujuh elemen keselamatan manusia menerusi Laporan Pembangunan Manusia 1994 dalam Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP).

Maknanya pelestarian alam sekitar sama pentingnya keselamatan ekonomi, makanan, kesihatan, keselamatan peribadi, keselamatan komuniti dan keselamatan politik.

Kemusnahan alam sekitar memberikan ancaman dan bencana yang berterusan kepada kehidupan manusia. Kita mesti menginsafi hal ini kerana persekitaran mempunyai kesan yang besar khususnya tahap kesihatan dan kualiti hidup. Banjir yang melanda Kuala Lumpur baru-baru ini salah satu daripada kesannya.

Udara daripada alam sekitar yang tercemar, pelepasan gas kenderaan bermotor dan industri memberi kesan terhadap sistem pernafasan manusia. Bahan pencemar udara seperti ozon, logam dan radikal bebas pula diketahui berupaya merosakkan sel-sel tisu paru-paru.

Maka kita wajar kembali bersahabat dengan alam. Jaga kelestarian alam dan tidak mencemar dengan sampah sarap.

Jadikan air anak sungai yang dingin tempat anak-anak kita mandi-manda bebas daripada sebarang pencemaran, semoga terus selamat dinikmati oleh orang lain selepas kita.

Hidup ini satu kesinambungan, sesuatu yang kita lakukan tidak semestinya untuk diri sendiri. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas