Artikel

Bantuan cukup, usah kacau duit KWSP

BANTUAN yang disalurkan kerajaan bersifat menyeluruh kepada mangsa banjir dan mereka yang berkelayakan untuk menerimanya. - Gambar hiasan
- Diterbit 7 Januari 2022 6:00 AM MYT

KERAJAAN membuat keputusan muktamad tidak membenarkan sebarang pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melalui mana-mana skim yang pernah diperkenalkan sebelum ini seperti i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra, sekali pun untuk mereka yang terlibat dengan banjir.

Ini ditegaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Kenyataan beliau juga diulangi oleh Menteri Kewangan, Datuk Tengku Zafrul Aziz.

Bencana banjir yang melanda beberapa buah negeri, termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, menimbulkan desakan kuat agar pencarum KWSP dibenar mengeluarkan simpanan sehingga RM10,000 melalui skim i-Citra.

Desakan ini, termasuk oleh para pemimpin politik, dengan alasan untuk meringankan beban mangsa banjir. Tetapi sebenarnya sebelum banjir pun, desakan seperti itu sudah kedengaran.

Namun menurut Ismail Sabri, dengan pelbagai bantuan diberi oleh kerajaan kepada yang terlibat banjir, tiada keperluan mengeluarkan caruman KWSP sehingga menjejaskan simpanan hari tua.

Bantuan dan insentif bersifat lebih menyeluruh diberi kepada mangsa banjir untuk memastikan pemberian berkenaan mampu meringankan beban mereka. Pemberian pula diberi pada kadar segera.

Untuk mereka yang rumah rosak teruk, kerajaan sendiri akan mengurus baik pulih dengan kos sehingga RM15,000.

Bagi rumah yang musnah dan tidak boleh diduduki, kerajaan memberi bantuan sehingga RM56,000 bagi setiap unit rumah baharu yang akan dibina.

Selain bantuan tersebut, kerajaan juga menghulur bantuan tunai sehingga RM5,000 bagi setiap keluarga mangsa banjir. Peruntukan ini untuk diguna bagi membaiki rumah yang tidak rosak serius.

Menurut Perdana Menteri, keseluruhan pemberian tunai kepada mangsa banjir boleh mencecah sehingga RM10,000 bagi setiap isi rumah. Malah bagi yang rumahnya musnah sama sekali, bantuan yang diberi kerajaan boleh mencecah sehingga RM61,000.

Adi setuju dengan Ismail Sabri, berbekal pakej bantuan seperti ini tidak perlu bagi mangsa mengeluarkan caruman KWSP. Pencarum sebaliknya boleh mengekalkan simpanan serta menikmati dividen tahunan lebih tinggi.

Adi ucap syabas dan tahniah kepada Ismail Sabri atas ketegasan kerajaan tidak membenarkan lagi pengeluaran. Bagi Adi, keputusan itu tepat demi melindungi kepentingan pencarum sendiri. Tidak perlu kacau duit simpanan KWSP.

Sebelum ini kerajaan telah memberi kebenaran pengeluaran melalui i-Lestari, i-Sinar yang diperkenal pada 2020 dan i-Citra pada 2021. Matlamat skim tersebut adalah untuk membantu para pencarum yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Pandemik tersebut menyebabkan ramai hilang kerja dan hilang sumber pendapatan apabila banyak sektor ekonomi gulung tikar, atau dihenti operasi sehingga keadaan pulih untuk bangun kembali.

Kelonggaran pengeluaran melalui tiga skim adalah usaha membantu mereka yang terkesan demi kelangsungan hidup. Skim berkenaan adalah istimewa dan luar biasa kerana belum pernah berlaku sebelumnya.

Namun kelonggaran yang pernah diberi itu janganlah dianggap sesuatu yang mesti berterusan. Pada satu peringkat tertentu ia mesti berhenti demi kepentingan pencarum. Pengeluaran berterusan akan memberi kesan negatif kepada simpanan mereka untuk memenuhi keperluan selepas bersara.

Lebih banyak caruman dikeluar bermakna semakin menyusut jumlah caruman. Simpanan hari tua semakin berkurangan. Jika ditakdirkan Allah umur panjang, bagaimana harus mengharungi kehidupan diri dan keluarga dalam keadaan simpanan sudah hampir kering?

Pengeluaran tanpa dikawal juga boleh menyebabkan rizab KWSP juga turut menyusut. Ini boleh menjejaskan kapasiti pelaburan KWSP atau untuk meluaskan portfolio pelaburan. Akibatnya, pendapatan daripada pelaburan terjejas.

Jika perolehan pelaburan menyusut, agihan atau dividen kepada pencarum juga menyusut. Tentu ini bukan yang diharap oleh pencarum. Mereka sering berharap simpanan dalam KWSP akan memberi pulangan tinggi, terutama yang setia mencarum tanpa mengusik wang simpanan.

Kerana itu Adi percaya, sekali pun kerajaan memberi kelonggaran pengeluaran, ramai yang tidak berbuat demikian kerana berasa tidak perlu dan mampu bertahan. Mereka tidak mahu mencuit simpanan kerana sedar bukan senang untuk menambah kembali jumlah yang telah dikeluarkan.

Sebaliknya ada pula kelompok yang walaupun mampu bertahan, sengaja ghairah mengeluarkan simpanan kerana teruja dengan peluang di depan mata. Juga kerana terikut-ikut dengan mereka yang membuat pengeluaran kerana perlu.

Bagi Adi, mereka yang bertahan tidak mengeluarkan caruman sedar keperluan kewangan pada masa hadapan serta tidak mahu simpanan menyusut.

Bayangkan jika yang dikeluarkan itu mencecah ribuan ringgit, berapa lama masa diambil untuk mencarum jumlah yang sama. Sebaliknya jika tidak diusik, jumlah terus bertambah.

Tentu sahaja pihak yang mendesak pengeluaran tambahan di bawah i-Citra tidak puas hati dengan keputusan kerajaan, termasuk di kalangan pencarum sendiri. Ada yang mengkritik atau menghina Perdana Menteri semata-mata desakan mereka tidak dipenuhi.

Dalam konteks ini, Adi ucap syabas kepada Ismail Sabri yang dengan tenang berkata beliau tidak terjejas dengan segala kritikan, penghinaan atau makian yang dilontarkan kepadanya. Yang penting ialah melindungi kepentingan rakyat.

Para pencarum mungkin beranggapan kenapa perkara ini menjadi isu dan kenapa tidak dibenar mengeluarkan wang sendiri. Ini pandangan singkat yang sekadar ghairah mahu mengeluarkan wang tetapi tidak mahu menghayati kesan perbuatan itu. Kerana itu memang wajar kerajaan bertindak melindungi kepentingan mereka.

Kepada yang ghairah mendesak pengeluaran tambahan di bawah i-Citra, hayatilah statistik pengeluaran caruman sehingga Oktober 2021. Sejumlah RM101 bilion telah dikeluarkan melalui i-Sinar, i-Lestari dan i-Citra. Ini bukan sedikit.

Pengeluaran mungkin memberi manfaat untuk jangka pendek pada waktu pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Tetapi kesan jangka panjangnya adalah serius. Ini kerana 6.1 juta ahli kini mempunyai kurang daripada RM10,000 dalam akaun mereka. Sejumlah 3.6 juta daripada jumlah ini pula mempunyai simpanan kurang daripada RM1,000.

Kebanyakan daripada mereka adalah Bumiputera. Sebanyak 4.4 juta atau 54 peratus daripada golongan tersebut mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000 manakala dua juta atau 25 peratus pula kurang daripada RM1,000. Tidakkah angka ini menakutkan?

Adi difahamkan, kuantum asas dalam KWSP yang diperlukan oleh setiap pencarum bagi menikmati kehidupan selesa selepas usia 55 tahun ialah sebanyak RM240,000. Nyata ramai Bumiputera khususnya tidak mencapai aras ditetapkan ini.

Sedihnya dalam keadaan kritikal ini pun, masih hingar suara mereka yang mahu dibenarkan lagi pengeluaran caruman. Perbuatan ini dilihat sebagai mencari populariti atau nama sahaja tanpa mempedulikan kebajikan pencarum.

Kini setelah kerajaan membuat keputusan muktamad tidak membenarkan lagi pengeluaran, Adi harap hentikanlah segera suara-suara desakan atau kritikan terhadap kerajaan. Kerajaan pula mesti tegas mempertahan keputusan ini agar di hari tua kelak pencarum ada dahan kukuh untuk bergantung.

Adi—Sudah tidak mencarum – WILAYAHKU – ADI TUAH

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas