Artikel

Tangguh umrah elak mudarat diri

KERAJAAN mengambil langkah menangguhkan urusan ibadah umrah jemaah Malaysia sebagai ‘tempoh bertenang’.
- Diterbit 14 Januari 2022 4:34 AM MYT

‘DITELAN mati emak, diluah mati bapa’. Beginilah situasinya apabila urusan ibadah umrah digantung berkuat kuasa mulai 8 Januari. Bagi pihak jemaah dan agensi pengendali umrah, penangguhan dianggap menyusah dan merugikan.

Bagi pihak kerajaan pula, ia perlu dilakukan demi melindungi nyawa para jemaah dan mengelakkan mereka daripada jangkitan COVID-19, terutama varian Omicron, yang dikesan meningkat dalam kalangan jemaah yang pulang dari Mekah.

Adi percaya ramai jemaah dari Wilayah Persekutuan turut terkesan dengan penangguhan ini. Namun kerajaan bukan mengambil langkah drastik tersebut untuk menyusahkan jemaah atau agensi umrah, tetapi mengelakkan kes Omicron meningkat di negara ini.

Pada hemat Adi, penangguhan bukan dibuat sesuka hati. Larangan adalah untuk ibadah umrah mulai 8 Januari sehingga diberitahu kelak. Jemaah yang telah mendaftar untuk ke tanah suci dari 1 hingga 7 Januari dibenar berlepas mengikut jadual, tetapi perlu menjalani kuarantin apabila kembali.

Ini telah dilaksana ke atas jemaah yang balik mulai 3 Januari lalu. Mereka perlu menjalani kuarantin wajib di stesen kuarantin atau hotel yang ditetapkan. Kuarantin di rumah tidak dibenarkan.

Memetik Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, kerajaan akan memantau dan membuat penilaian berkala berhubung situasi COVID-19 membabitkan varian Omicron di dalam dan luar negara, khususnya Arab Saudi. Hasil penilaian akan menjadi penentu waktu sesuai membenarkan semula umrah.

Bagi Adi, rakyat mesti memahami apa yang tersirat di sebalik langkah kerajaan, iaitu untuk mengurangkan risiko penularan Omicron dan mengekang peningkatan kes berkenaan dalam negara. Gelombang Omicron ialah realiti yang akhirnya akan sampai ke seluruh dunia.

Di Amerika, hampir setengah juta kes harian direkod dan di United Kingdom pula lebih 200,000. Malaysia tidak mahu gejala buruk menimpa negara. Di Arab Saudi sendiri, negara itu merekodkan 4,778 jangkitan baharu COVID-19 pada Isnin lalu dengan dua kematian.

Kerana itu langkah pencegahan diambil agar varian tidak menyerang Malaysia dengan mendadak. Penangguhan umrah adalah ‘tempoh bertenang’. Kerajaan boleh menggunakan waktu ini membuat perancangan dan persiapan rapi berhubung urusan umrah sebelum ibadah itu disambung kembali.

Kes Omicron telah dikesan di kalangan beberapa orang jemaah yang balik dari tanah suci. Kes awal melibatkan pasangan suami isteri dari Johor yang pulang melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 16 Disember lalu (2021).

Pada 25 Disember, seorang jemaah dari Melaka pula disahkan positif varian tersebut. Pada 27 Disember, dua jemaah dari Pulau Pinang disahkan positif, diikuti satu kes jemaah dari Perak pada 28 Disember.

Adi difahamkan, sehingga 31 Disember, sejumlah 32 kes jangkitan varian Omicron dicatatkan di kalangan jemaah umrah yang kembali ke tanah air. Yang sangat dikesali ialah ada di antara jemaah ini menipu sijil vaksinasi untuk ke tanah suci. Sungguh tidak bertanggungjawab perbuatan ini.

Kerana itu memang wajar kerajaan menghentikan umrah untuk sementara waktu bagi mengekang aliran jangkitan. Apa yang dilakukan oleh kerajaan ialah usaha dan ikhtiar. Mencegah sebelum parah.

Segala masalah berbangkit atau kerugian yang ditanggung bakal jemaah dan agensi umrah, boleh dibincang dengan pihak kerajaan untuk mencari penyelesaian menang-menang. Ini termasuk penjadualan semula perjalanan dan sebagainya.

Umrah adalah amalan sunat, dan dalam keadaan biasa mereka yang mampu memang dituntut untuk mengerjakannya. Namun ketika berhadapan risiko yang boleh memudaratkan diri, wajar ia ditangguh. Anggaplah ia ketentuan Allah yang pasti ada hikmahnya.

Adi—Sudah tunai umrah

HAD LAJU 30 KM SEJAM DI KUALA LUMPUR

JIKA kajian yang dijalankan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) mencapai keputusan muktamad dan direalisasikan, had kelajuan di beberapa bahagian bandar raya akan ditetapkan antara 30 hingga 50 kilometer sejam.

Adi difahamkan perkara ini dibincangkan dalam kunjungan hormat Pengerusi MIROS, Datuk Suret Singh dan Ketua Pengarah, Datuk Dr Khairil Anwar Abu Kassim ke atas Datuk Bandar, Datuk Seri Mahadi Che Ngah baru-baru ini.

Memetik Suret Singh, DBKL dan Miros berazam menjadikan had laju ini realiti. Ketika ini tiada had laju ditetapkan di bandar raya. Justeru jika dilaksanakan kelak ia dapat membendung pemandu memandu sesuka hati dalam kawasan zon ditetapkan, sebaliknya mesti mematuhi had laju.

Kemungkinannya zon had laju akan dikuat kuasa di kawasan yang sibuk atau sesak bagi memastikan kelancaran pergerakan lalu lintas. Pihak DBKL dan MIROS akan bekerjasama mengenal pasti kawasan dan jalan-jalan berkenaan.

Tentu ramai beranggapan had laju antara 30 hingga 50 kilometer sejam sangat perlahan. Namun sedar atau tidak, dalam kesesakan lalu lintas di bandar raya, khususnya ketika waktu puncak, pergerakan kenderaan memang merangkak, malah di bawah 30 kilometer sejam.

Kerana itu bagi Adi, had laju yang dicadangkan dianggap munasabah, dengan memberi kelonggaran sehingga 50 kilometer sejam jika keadaan jalan tidak sesak. Sebenarnya memang tidak wajar pun memandu laju dalam bandar raya. Dengan penetapan zon laju, pergerakan lalu lintas dapat dikawal dengan lebih sistematik.

Selain kerjasama dengan DBKL, MIROS juga dalam proses memuktamadkan cadangan menetapkan had laju seragam 30 kilometer sejam di kawasan bandar raya dan bandar, kawasan kediaman dan kawasan kampung seluruh negara. Ini merupakan sebahagian daripada rancangan keselamatan jalan raya kebangsaan 2022-2030.

Miros juga membincangkan dengan DBKL mengenai kemungkinan berkongsi data dan rekod trafik. Aspek ini antaranya akan melibatkan rakaman CCTV mengenai kesalahan-kesalahan lalu lintas dilakukan oleh pemandu di bandar raya.

Malaysia adalah antara negara yang mengesahkan ‘Deklarasi Stockholm’ mengenai keselamatan jalan raya, dengan 18 resolusi dikemukakan dalam persidangan global menteri berkaitan pada Februari 2020.

Para menteri dalam persidangan tersebut sekata berazam mengurangkan hingga separuh angka kematian di jalan raya menjelang tahun 2030.

Sehubungan itu kadar kelajuan 30 hingga 50 kilometer sejam dianggap sebagai ‘norma baharu’ di kawasan di mana terdapat ramai pengguna, baik penunggang motosikal, pemandu kereta atau pejalan kaki.

Adi melihat apa yang cuba dilakukan oleh DBKL dan MIROS ini adalah melaksanakan ketetapan ‘Deklarasi Stockholm’ yang dirasakan memang sesuai dilaksanakan di Kuala Lumpur. Ia adalah satu solusi yang boleh membantu masalah lalu lintas di ibu negara.

Tugas warga kota ialah mematuhi peraturan ini apabila ia berkuat kuasa kelak. Kuala Lumpur semakin sesak dengan kenderaan dan perlu ada penyelesaian ke arah ini. Terimalah dengan positif untuk kebaikan bersama.

Adi—Biar lambat asal selamat – WILAYAHKU – ADI TUAH

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas