Berita

Sistem aliran udara pesawat mengehadkan penularan virus COVID-19 – IATA

- Diterbit 9 Oktober 2020 8:14 AM MYT

PENGUMPULAN data oleh Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) dan hasil simulasi berasingan pengeluar pesawat mengesahkan bahawa sistem aliran udara pesawat mengawal pergerakan zarah di dalam kabin, mengehadkan penyebaran virus COVID-19.

Dalam kenyataan bersama dengan Airbus, Boeing dan Embraer, persatuan itu menyatakan bahawa penemuan baharu berhubung jumlah jangkitan dalam penerbangan yang lebih rendah adalah berdasarkan kajian perkomputeran dinamik bendalir (CFD) berasingan yang dijalankan oleh setiap pengeluar di dalam pesawat mereka dengan metodologi yang sedikit berbeza.

“Sistem aliran udara pesawat, penapis udara berzarah berkecekapan tinggi (HEPA),  halangan semula jadi sandaran tempat duduk, aliran ke bawah udara serta pertukaran udara berkadar tinggi, telah secara cekap mengurangkan risiko jangkitan di dalam pesawat pada waktu-waktu biasa.

“Pemakaian pelitup muka memberi perlindungan tambahan, sekali gus menjadikan duduk berdekatan di dalam kabin pesawat adalah lebih selamat berbanding kebanyakan persekitaran di dalam ruang tertutup yang lain,” demikian menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, pengumpulan data dan hasil simulasi berasingan tersebut adalah selari dengan jumlah kes yang rendah yang dilaporkan dalam kajian penilaian oleh Freedman dan Wilder-Smith dalam Journal of Travel Medicine.

“Walaupun tidak ada cara untuk menentukan jumlah tepat kes yang mungkin berkaitan dengan penerbangan, maklumat daripada syarikat penerbangan serta pihak berkuasa kesihatan yang diperoleh IATA, berserta kajian menyeluruh, tidak memberi sebarang petunjuk bahawa jangkitan dalam penerbangan adalah perkara biasa mahupun meluas,” tegas mereka.

Sejak awal 2020, terdapat 44 kes COVID-19 dilaporkan yang mana penularan dikaitkan dengan perjalanan udara, dengan kira-kira 1.2 bilion penumpang melakukan perjalanan.

IATA juga mendapati  ciri-ciri reka bentuk pesawat turut menjadi satu lagi bentuk perlindungan daripada jangkitan dalam penerbangan, iaitu antara lain kedudukan penumpang yang mengehadkan interaksi bersemuka, sandaran tempat duduk sebagai halangan fizikal terhadap pergerakan udara dari satu barisan ke barisan lain dan aliran udara yang diarah ke bawah dari siling ke lantai.

Sementara itu, Ketua Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif IATA Alexandre de Juniac dipetik berkata penyelidikan terperinci CDF menunjukkan gabungan ciri reka bentuk pesawat dan pemakaian pelitup muka mewujudkan persekitaran berisiko rendah bagi penularan COVID-19.

“Sebagaimana kelazimannya, syarikat penerbangan, pengeluar dan setiap entiti yang terlibat dalam sektor penerbangan akan berpandukan sains dan amalan terbaik global untuk memastikan penerbangan adalah selamat bagi penumpang dan anak kapal,” tambahnya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas