Berita

Kes jangkitan Covid-19 Wilayah Persekutuan mendatar

PKPD perlu di kawasan zon merah bagi memutuskan rantaian wabak Covid-19.
- Diterbit 11 April 2020 9:47 AM MYT

PUTRAJAYA – Kes jangkitan wabak Covid-19 di Wilayah Persekutuan menunjukkan trend mendatar dan tumpuan diberikan kepada lokasi zon merah.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Wilayah Persekutuan (JKKN WP), Tan Sri TPr. Annuar Musa berkata, pada masa ini, Wilayah Persekutuan tidak merekodkan sebarang lonjakan kes dan sekadar mengekalkan keadaan sebelumnya.

Justeru ujarnya, tumpuan diberikan kepada enam kawasan Parlimen yang mencatatkan kes tertinggi iaitu Bandar Tun Razak (42 kes), Titiwangsa (46), Putrajaya (49), Bukit Bintang (63), Segambut (65) dan Seputeh (328).

“Kita juga mengawal kawasan Batu yang merekodkan 37 kes kerana ia menghampiri garis 40 kes yang ditetapkan sebagai penanda aras zon merah Kementerian Kesihatan (KKM).

“Kita berharap angka ini menurun sekiranya kes yang positif disembuhkan. Di Plaza City One, kes yang direkodkan adalah 30 kes manakala lonjakan berlaku di Selangor Mansion apabila kedua-dua bloknya mencatatkan 48 kes,” jelasnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas