Berita

500 gelandangan mula bekerja selepas PKP tamat

ANNUAR
- Diterbit 11 April 2020 9:51 AM MYT

PUTRAJAYA – Kira-kira 500 gelandangan yang ditempatkan di enam lokasi kuarantin sekitar Kuala Lumpur akan mula bekerja sejurus selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr. Annuar Musa berkata, ia berikutan pihaknya sudah mempunyai persefahaman dengan sebuah syarikat di Selangor yang mana gelandangan terlibat akan berada di bawah satu kumpulan yang dikenali sebagai Angkatan Rakyat Untuk Menceria dan Membersihkan Bandar Raya (Armada).

Jelas beliau, golongan terbabit juga akan ditempatkan di asrama yang kini dalam proses melengkapkan beberapa kemudahan seperti perabot.

“Daripada 800 orang yang kita buat tapisan, yang bersedia akan bekerja di bawah sebuah kilang pembuatan barang yang tidak memerlukan kepakaran dan pihak kilang telah bersetuju untuk membenarkan 400 hingga 500 orang.

“Sebahagian daripada gelandangan ini akan disalurkan kepada agensi lain seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Kementerian Kesihatan (KKM), rumah orang cacat dan sebagainya. Mereka ini tidak termasuk dalam kategori beri pekerjaan,” katanya.

Beliau yang begitu komited untuk membantu golongan gelandangan turut menyediakan latihan bagi meningkatkan keyakinan diri selain melakukan beberapa pemeriksaan kesihatan termasuk fizikal dan psikologi.

Malah, Annuar menegaskan bahawa tempoh lanjutan PKP ini akan digunakan sepenuhnya untuk memantapkan golongan gelandangan supaya mereka mampu memulakan kehidupan baru bersama masyarakat lain. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas