Berita

Operasi nyah cemar dilakukan ikut garis panduan WHO

PETUGAS melakukan semburan nyah kuman di sekitar kawasan pusat bandar Kuala Lumpur baru-baru ini. Gambar NAZIRUL ROSELAN
- Diterbit 11 April 2020 9:46 AM MYT

PUTRAJAYA – Operasi nyah cemar yang dijalankan di seluruh negara dikendalikan dan dibawah pengawasan Kementerian Kesihatan (KKM).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, operasi tersebut juga mengikut garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Operasi memberikan keutamaan kepada lokaliti kes berdasarkan bilangan kes Covid-19 yang terkini.

“Kerajaan dimaklumkan KKM bahawa operasi nyah cemar ini boleh mengurangkan penyebaran dan penularan Covid-19,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini.

Beliau memberitahu, operasi di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah melaksanakan sanitasi awam sebanyak 1,291 lokasi di 85 zon seluruh negara termasuk sebanyak 24 zon merah dan 61 zon kuning.

Ujarnya, antara kawasan disanitasi adalah sebanyak 884 bangunan kerajaan, tempat awam (565), pusat perniagaan (528) dan pasar raya (107).

Dalam perkembangan berlainan, Ismail Sabri menjelaskan seramai 11,445 individu telah dikuarantin di 156 pusat kuarantin seluruh negara. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas