Selebriti

“Kes jangkitan banyak, ambil vaksin cara terbaik” – Elfira Loy

- Diterbit 6 Jun 2021 12:00 AM MYT

PELAKON popular Elfira Loy, 27, mengaku walaupun pernah mendengar pelbagai pendapat orang ramai tentang vaksin COVID-19, dia tidak mudah terpengaruh malah yakin dengan kebaikan suntikan tersebut.

Demi kebaikan diri, keluarga dan orang sekeliling, Elfira telah menerima suntikan vaksin AstraZeneca pada awal Mei lalu.

Elfira menerima suntikan dos pertama di Pusat Pemberian Vaksin Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor.

Elfira berkata sebagai artis yang bertemu dengan ramai orang, keputusannya untuk mengambil vaksin dibuat, antaranya adalah demi anaknya Muhammad Rayyan Khalaf, 2.

“Kes jangkitan pun banyak sekarang dan ambil vaksin adalah cara terbaik. Tidak dinafikan, awalnya saya rasa takut jumpa doktor dan memikirkan kesannya.

“Bila terlalu takut, kita akan cari kesan yang buruk. Tapi kalau dilihat banyak kesan baik berbanding buruk. Saya memang fokus pada mereka yang cerita positif.

“Insya Allah dos kedua akan diambil pada Ogos ini. Saya buat pendaftaran awal semasa pengumuman dengan masukkan nama saya, suami, emak dan adik.

“Saya harap perkongsian saya ini akan membuka hati orang lain untuk mendaftar dan terima vaksin apabila pendaftaran dibuka lagi pada masa akan datang,” katanya kepada Wilayahku.

Menurut Elfira, dia menyedari masih ada yang ragu-ragu atau tidak mempercayai kepentingan vaksin COVID-19.

Dalam masa yang sama, Elfira juga membuktikan dirinya berada dalam keadaan baik selepas menerima vaksin.

“Saya ni seorang yang takut berjumpa doktor. Namun, saya teruja dengan keberkesanannya serta sedar kepentingannya kepada kita semua.

“Saya rasa ia sangat penting dan lambat laun memang kena juga ambil. Itu yang saya buat keputusan ambil dari awal. Prosesnya pun lancar. Kita ikut arahan yang ditunjukkan. Ia sangat cepat dan efisyen.

“Saya juga selalu baca kesan selepas suntikan akan nampak selepas lima atau enam jam. Tapi tengoklah saya okey saja,” katanya yang berada dalam keadaan sihat dan tidak sabar menantu hari suntikan vaksin kedua. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas