Selebriti

Ameng Spring kagumi usaha pemvaksinan gelandangan

- Diterbit 7 Jun 2021 12:48 AM MYT

SATU usaha yang mendapat pujian ramai apabila Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa mewujudkan program pemberian vaksin kepada golongan gelandangan yang turut dimasukkan di bawah Inisiatif Wilayah Cakna (IWC) 5.0.

Vokalis kumpulan Spring, Ameng turut berbangga dengan usaha kerajaan yang turut prihatin terhadap nasib golongan gelandangan.

Menurut Ameng atau nama sebenarnya Wan Aminuddin bin Wan Ismail,52, golongan ini harus menjadi keutamaan dalam mendapatkan vaksin kerana persekitaran hidup mereka yang berisiko dijangkiti COVID-19.

“Bagi saya, ini satu langkah bagus yang digerakkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan. Tanpa idea bernas ini, bagaimana kita hendak membela golongan gelandangan yang sering terabai.

“Iyalah, saya yakin kerajaan sendiri menyedari penyebaran COVID-19 lebih mudah berlaku dalam kalangan gelandangan yang mempunyai masalah tempat tinggal khususnya di Kuala Lumpur yang padat penduduk.

“Bila kawasan tempat tinggal mereka itu padat, maka penularan wabak mudah berlaku kerana mereka hidup dalam keadaan berhimpit.

“Kebanyakan mereka tinggal di jalanan dan lorong sempit yang tidak mempunyai kemudahan asas kebersihan seperti tandas serta bilik mandi.

“Ini secara tak langsung membuatkan penjagaan kesihatan mereka sangatlah lemah kerana keadaan mereka itu sendiri. Apabila ketahanan badan lemah, mereka berisiko dijangkiti COVID-19,” luah Ameng yang berharap nasib gelandangan di kawasan lain turut diberikan inisiatif yang sama sebagaimana yang dilakukan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan.

“Golongan ini tidak boleh diabaikan dan perlu dibantu kerana mereka juga rakyat Malaysia. Dalam masa yang sama, mereka tidak mampu mendapatkan maklumat berkaitan COVID-19 kerana tiada akses kepada media massa atau media sosial seperti kita.

“Jadi, inisiatif pemvaksinan gelandangan ini sangat bagus dan perlu dicontohi oleh pihak lain.

“Mereka perlu dilatih untuk menjaga Prosedur Operasi Standard (SOP) terutamanya apabila hidup di kawasan berhimpit-himpit seperti di kaki lima,” ujar lagi.

Turut tersenarai di bawah IWC 5.0 adalah Kelas Digital Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Mahir Tutor dan Inisiatif Wilayah Bebas Berniaga (IWBB).

Tidak ketinggalan Usahawan Anak Muda Kota Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta penubuhan pasukan KL Watch di bawah DBKL yang akan membuat pemantauan dan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) di kawasan hotspot selain tempat tumpuan awam. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas