Berita

Kes denggi meningkat, 4 kematian dilaporkan

- Diterbit 1 April 2024 1:59 PM MYT

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) melaporkan peningkatan kes demam denggi kepada 3,041 kes pada Minggu Epidermiologi ke-12 (ME12) bagi tempoh 17 hingga 23 Mac tahun ini berbanding 2,905 kes pada minggu sebelumnya dengan empat kematian akibat komplikasi demam denggi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga ME12 adalah sebanyak 41,565 kes berbanding 26.222 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Tambah Muhammad Radzi, terdapat 28 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding 17 kematian bagi tempoh yang sama pada tahun lepas.

“Bilangan lokaliti ‘hotspot’ yang dilaporkan pada ME12 adalah sebanyak 141 lokaliti berbanding 161 lokaliti ‘hotspot’ pada minggu sebelumnya.

“Dari 141 lokaliti yang dilaporkan, 118 lokaliti di negeri Selangor; Kuala Lumpur dan Putrajaya (13); Pulau Pinang (6); Perak (2); manakala satu lokaliti masing-masing di Negeri Sembilan serta Johor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Muhammad Radzi berkata, bagi survelan chikungunya, terdapat empat kes direkodkan pada ME12.

Jelas beliau, jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah 13 kes. Terdapat dua wabak chikungunya dilaporkan pada ME12.

“Bagi survelan zika, sebanyak 568 sampel darah serta satu sampel urin telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas