Berita

Berhati-hati tawaran topeng muka murah

JANGAN mudah terpedaya jualan topeng muka di media sosial. - Gambar hiasan
- Diterbit 20 April 2020 7:27 AM MYT

PUTRAJAYA – Orang ramai dinasihatkan tidak mudah terpengaruh terhadap sebarang tawaran jualan topeng muka.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, berdasarkan laporan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerugian penipuan penjualan topeng muka di seluruh negara mencecah RM4.2 juta.

Menurutnya, modus operandi sindiket penipuan adalah menggunakan media sosial dan bersemuka.

“Pembeli perlu membuat semakan akaun penjual terdahulu sebelum membuat pembayaran menerusi portal semakmule Jabatan Siasatan Jenayah Komersial atau status penjualan dalam talian di laman sesawang www.viztrust.ssm.com.my.

“Jadi, tolong jangan mudah percaya terhadap tawaran topeng muka murah atau barangan lain,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini hari ini.

Dalam perkembangan berlainan, Ismail Sabri menegaskan seramai 1,174 individu ditahan kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ujarnya, daripada jumlah tersebut 1,012 individu direman dan 162 diberikan jaminan polis selain jumlah kumulatif ditangkap sehingga semalam seramai 15,924 individu.

“Saya sekali lagi menasihatkan orang ramai bahawa PKP masih berjalan seperti biasa tanpa sebarang kelonggaran.

“Orang ramai dilihat lebih rilek seolah-olah sudah habis PKP ini dengan ramai keluar,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas