Berita

19 laporan polis dibuat isu video Rohingya

- Diterbit 28 April 2020 8:53 AM MYT

PUTRAJAYA – Sebanyak 19 laporan polis diterima berhubung video dan audio berkaitan pelarian etnik Rohingya yang menimbulkan kemarahan rakyat negara ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak empat kertas siasatan telah dibuka untuk siasatan lanjut.

“Jadi, serahkan kepada polis menyiasat,” katanya dalam sidang akhbar harian hari ini.

Dalam perkembangan berlainan, Ismail Sabri memberitahu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah membuka 238 kertas siasatan berkaitan berita palsu Covid-19 setakat semalam.

Ujar beliau, daripada jumlah itu menyaksikan sebanyak 170 masih dalam siasatan, 24 sudah didakwa di mahkamah dan 13 mengaku salah.

“Saya meminta orang ramai lebih berhati-hati sebelum menyebarkan sebarang kandungan yang diragui kesahihannya dan boleh semak kesahihan itu di portal sebenarnya.my.

“Saya perlu beri ingatan jika tidak pasti jangan sesekali kongsi kerana mereka yang menyebarkan dan berkongsi berita palsu boleh dikenakan tindakan tegas oleh PDRM dan SKMM,” jelasnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas