Berita

Kerja baik pulih tanah runtuh di Bukit Bandaraya selesai dalam tempoh dua minggu

- Diterbit 24 Oktober 2021 7:43 AM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpu (DBKL) dan Institut Kerjaraya Malaysia (Ikram) telah melantik kontraktor bagi menyelesaikan masalah tanah runtuh di Bukit Bandaraya dalam tempoh dua minggu.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, sebagai langkah awal, DBKL dengan kerjasama persatuan penduduk akan menasihatkan penduduk yang terlibat untuk mengosongkan rumah mereka bagi memberi laluan kerja-kerja pembaikian cerun dilaksanakan.

“Kontraktor yang dilantik akan memulakan kerja pembaikian pada hari ini dan keadaan di kawasan ini agak membahayakan bagi mereka terus tinggal di rumah masing-masing.

“Pihak berkuasa akan menyelesaikan soal runtuhan termasuk perlu mengalih tiang elektrik TNB dan menebang pokok untuk keselamatan bagi penduduk di sini,” katanya kepada pemberita selepas meninjau keadaan di Jalan Lingkungan Negeri Sembilan, Bukit Bandaraya di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Eksekutif Pengurusan Projek DBKL, Datuk Azmi Abdul Hamid, wakil Ikram, Mohd Hafiz Mohd Razali dan wakil Persatuan Penduduk Bukit Bandaraya, Datuk Mumtaz Ali.

Jalaluddin berkata, beliau turut dimaklumkan bahawa pihak Ikram akan menyediakan laporan lengkap mengenai insiden tersebut dalam masa tiga bulan dan pihak DBKL akan mengambil tindakan susulan bagi melaksanakan kerja-kerja pembaikan.

“Kawasan ini adalah berbukit dan ia telah berusia hampir 40 tahun malah struktur jalan di kawasan berhampiran tidak mempunyai tanda-tanda rekahan.

“Walaupun tidak menampakkan ada tanda-tanda runtuhan, tetapi dalam masa sama ada berlaku aliran air dan beberapa perkara berkaitan yang berkemungkinan berlaku rekahan tanah dan ia telah menyebabkan ada kawasan yang telah mengalami runtuhan tanah.

“Kita akan membuat kajian mengenai pergerakan tanah di kawasan ini dari semasa ke semasa dan pada masa sama satu pasukan khas akan terus memantau pergerakan tanah dan juga aliran air serta beberapa perkara yang melibatkan masalah tersebut,” katanya.

Semalam, berlaku kejadian tanah runtuh yang menjejaskan sebahagian jalan Lingkungan Negeri Sembilan serta tembok penahan yang disebabkan hujan lebat yang melanda ibu negara. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas