Berita

10,000 warga kota meriahkan Kenduri Rakyat

ORANG ramai tidak melepaskan peluang untuk menikmati juadah yang disediakan.
- Diterbit 21 Februari 2020 5:23 AM MYT

KIRA-KIRA 10,000 warga kota membanjiri Pusat Komuniti Gombak di Gombak Setia bagi meraikan Kenduri Rakyat sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan (SHWP) 2020 baru-baru ini.

Para petugas dan sukarelawan telah berkumpul seawal pukul 8 pagi untuk melakukan persiapan untuk menyambut pengunjung yang hadir.

Program kenduri rakyat kali ini mempamerkan kelainan apabila lebih 30 khemah disediakan untuk pameran seperti kaunter Jabatan Penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Yayasan Wilayah Persekutuan, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Pos Malaysia dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bertujuan memberikan informasi terkini mengenai perkhidmatan mereka.

Selain itu, terdapat 10 syarikat turut mengambil bahagian dalam program itu antaranya McDonald’s Malaysia, Lebuh Raya DUKE dan lain-lain yang menawarkan kira-kira 300 peluang pekerjaan kepada warga kota yang berkelayakan melalui temuduga terbuka.

Selain itu, pameran Kuala Lumpur World Book Capital (KLWBC) 2020 turut disediakan sebagai usaha DBKL mempromosikan Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Buku Dunia yang bakal bermula pada April ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad di dalam ucapannya berkata, tema ‘Sayangi Wilayahku’ yang diperkenalkan tahun lalu dikekalkan pada SHWP 2020 kerana ia seiring dengan usaha integrasi nasional dan kesejahteraan yang menjadi penggerak utama agenda negara.

“Saya yakin tema ini akan menjadi penggerak utama agenda memperkasakan perpaduan dalam kalangan lapisan masyarakat majmuk di samping menjadikan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar maju dan sejahtera.

“Tema ini juga bertepatan dengan aspirasi kementerian yang ingin menjadikan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sebagai sebuah bandar yang ceria sesuai dengan konsep ‘sense of belonging’ yang ingin diterapkan kepada warga Wilayah Persekutuan,” katanya.

Hadir sama Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh; Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Paduka Dr. Tan Yee Kew; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Rosida Jaafar dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham A. Dahlan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas